Azam Baki dirakam percakapan, kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah merakam percakapan Tan Sri Azam Baki bagi membantu siasatan berhubung dua kes didakwa melibatkan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar memaklumkan, ia berhubung dua kes iaitu berkaitan penerbitan artikel oleh Bloomberg.com mengandungi kenyataan berunsur fitnah mengenai pemilikan saham Velocity Capital Partner Berhad.

Menurut Kumar, rakaman percakapan itu turut melibatkan isu dakwaan penyalahgunaan kuasa dan ugutan jenayah ke atas orang awam bernama Albert Tei.

“Kedua-dua kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara selaras dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh terdekat.

“Ia bagi mendapatkan nasihat dan arahan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Kumar turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes yang berpotensi menjejaskan atau mengganggu proses siasatan.

“PDRM komited dalam memastikan ketelusan dan integriti siasatan sentiasa diutamakan bagi menjamin keadilan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu didapati melanggar undang-undang yang sedang berkuatkuasa,” jelas beliau.

Media sebelum ini melaporkan Bloomberg dalam satu laporan mendakwa Azam, 62, memiliki 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan tersenarai di Bursa Malaysia berdasarkan pemfailan tahunan oleh Velocity Capital kepada kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari tahun lalu.

Berikutan itu, PDRM membuka kertas siasatan selepas menerima laporan polis berhubung penyiaran artikel berkenaan yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah terhadap Azam.

Azam turut memulakan tindakan undang-undang terhadap laporan Bloomberg yang disifatkannya sebagai mengelirukan, berunsur fitnah dan menjejaskan reputasi beliau serta integriti SPRM.

Selain siasatan berkaitan artikel Bloomberg, rakaman percakapan Azam turut membabitkan satu lagi kes berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa dan ugutan jenayah terhadap ahli perniagaan, Albert Tei.

Pada 13 Mei lalu, Albert membuat laporan polis dengan mendakwa beliau diugut menerusi seorang peguam.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Kes buli: ‘Jika terbukti salah, mereka hendaklah disingkirkan daripada MRSM’

PENGERUSI Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengarahkan tindakan tegas diambil terhadap enam pelajar Tingkatan Lima...

More Articles Like This