PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membubarkan Parlimen pada bulan November iaitu selepas pembentangan Belanjawan 2027, Oktober depan.
Pengarah Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan UTM Kuala Lumpur, Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata tiada sebab untuk Perdana Menteri mengikuti jejak langkah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dan Johor untuk melaksanakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) dalam masa terdekat.
Menurut beliau, kerajaan tidak mempunyai kelebihan besar jika PRU-16 diadakan tidak lama lagi.
Mazlan berkata, walaupun prestasi Anwar boleh dikatakan baik sepanjang menjadi Perdana Menteri, namun krisis di Asia Barat telah memberi kesan kepada negara.
“Selepas pembubaran DUN Johor dan yang terbaharu DUN Negeri Sembilan, saya tak fikir Parlimen akan dibubarkan dalam masa terdekat.
“Ini kerana Anwar sendiri telah mengeluarkan kenyataan bahawa tiada keperluan untuk mengadakan PRU-16 sekarang,” katanya kepada UtusanTV hari ini.
Mengulas lanjut, Mazlan berkata, pembubaran selepas pembentangan Belanjawan 2027 merupakan tempoh yang sesuai mengambil kira pelbagai insentif diberikan kepada rakyat.
“Kerajaan tentunya akan wujudkan faktor baik (good factor) kepada rakyat sebelum membubarkan Parlimen.
“Mengapa tidak tahun depan? Dijangka krisis di Asia Barat itu akan memberi kesan lebih besar kepada negara,” katanya.
Semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan pembubaran DUN berkuat kuasa hari ini.
Pembubaran tersebut telah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Langkah itu mengikuti jejak dilakukan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang turut mengumumkan pembubaran DUN pada hari Isnin lalu.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

