PENEMUAN beberapa barangan oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita yang hilang, Jaslinda Saludin, 49 disahkan bukan milik mangsa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad memaklumkan, beberapa barangan itu telah ditemukan di sekitar kawasan sungai, lereng bukit dan laluan pendakian di Gunung Batu Putih.
Bagaimanapun, kata beliau, setakat ini tiada sebarang petunjuk baharu dikaitkan dengan Jaslinda.
“Sehingga Khamis, seramai lapan anggota STORM JBPM dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) yang berada di sektor pencarian telah selamat keluar dari lokasi operasi pada pukul 11.30 pagi.
“Seramai lima anggota daripada Jabatan Perhutanan dan MGP juga telah memasuki sektor pencarian bagi meneruskan usaha pengesanan.
“Komuniti Orang Asli yang turut membantu operasi sejak 3 Jun lalu juga masih berada di kawasan pencarian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Sabarodzi berkata, pihaknya telah menerima banyak permohonan sukarelawan untuk terlibat memulakan pencarian bersama pasukan SAR.
Namun begitu, katanya, terdapat permohonan yang ditolak disebabkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), tempoh masa yang tidak sesuai, peralatan dan kelengkapan yang tidak mencukupi serta beberapa kriteria lain.
“JBPM Perak merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menawarkan diri sebagai sukarelawan.
“Walau bagaimanapun, penyertaan ke kawasan operasi tertakluk kepada kelulusan serta pematuhan SOP yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan semua pihak yang terlibat,” jelasnya.
Jaslinda dilaporkan menyertai pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 individu lain dan dua malim gunung bermula jam 2 pagi, 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Mangsa bersama seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti daripada kumpulan tersebut.
Bagaimanapun, Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan seorang diri ke puncak gunung sebelum kali terakhir dilihat oleh malim gunung pada pukul 7.30 pagi pada 24 Mei.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

