Dakwa Muhyiddin ‘pengasas’ PN tahyul, perlu dihapuskan – Wan Saiful

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

KENYATAAN dikeluarkan pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah ‘pengasas’ Perikatan Nasional (PN) merupakan tahyul yang perlu dihapuskan.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan, dakwaan sedemikian hanyalah hujah daripada pihak yang cuba memesongkan fakta sebenar sejarah penubuhan PN.

Beliau yang telah dipecat Bersatu mendakwa, idea asal penubuhan PN serta asal usul terciptanya nama PN langsung tidak melibatkan Muhyiddin.

Menurut Wan Saiful, penularan senarai pemimpin yang hadir dalam mesyuarat penubuhan PN pada 29 Julai 2020 jelas menunjukkan terdapat 12 pemimpin merangkumi parti Pas, Bersatu, Gerakan dan MIC yang akhirnya melahirkan PN.

“Nyata bahawa PN bukan lahir dari tangan seorang individu yang sedang cuba didewakan oleh Bersatu sahaja.

“Mungkin ada yang mahu mengatakan bahawa Muhyiddin yang memberi idea penubuhan PN. Sekali lagi, ini pun tahyul,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Saiful mendakwa terdapat tiga individu yang terlibat dalam melahirkan cadangan penubuhan PN.

Tanpa mendedahkan nama individu tersebut, beliau berkata, salah seorang daripada tiga individu itu telah menandatangani surat kepada Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri pada ketika itu untuk mengangkat cadangan tersebut.

Katanya, pada ketika itulah idea penubuhan dan nama PN dizahirkan, tanpa melibatkan Muhyiddin.

Beliau memberitahu, individu keempat pula merupakan penulis surat setebal 38 muka surat yang dihantar kepada Dr Mahathir untuk mencadangkan penubuhan PN.

“Pada waktu sama, ada dua orang lagi iaitu orang kelima dan orang keenam yang terlibat dalam merekacipta logo PN yang ada sekarang.

“Selepas itu, Muhyiddin ada bagi cadangan gambar pokok untuk jadi logo tapi cadangan itu ditolak.

“Yang diterima ialah cadangan yang diangkat oleh orang kelima dan orang keenam ini,” katanya.

Beliau memaklumkan sengaja tidak mendedahkan nama keenam-enam individu tersebut kerana belum meminta kebenaran daripada kesemua mereka.

Wan Saiful turut berharap kesemua mereka tampil ke hadapan bagi mematikan ‘tahyul’ yang cuba dibawa Bersatu.

“Kalau orang yang menandatangani surat 38 muka surat itu boleh dedahkan kandungan surat tersebut lagi baik.

“Biar semua orang tahu bahawa Muhyiddin hanya datang kemudian tapi langsung tak malu nak claim credit.

“Sudah sudahlah usaha menjadikan Muhyiddin sebagai dewata raya yang dipuja-puja. Lebih banyak tahyul yang dibawa, lebih malu nanti jadinya,” jelas beliau.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Inisiatif Smart Lane kurangkan kesesakan trafik sehingga 50 peratus

INISIATIF Smart Lane secara keseluruhannya telah menunjukkan keberkesanan yang tinggi dan berjaya mengurangkan kadar kesesakan trafik antara 30 hingga...

More Articles Like This