DATUK Seri Dr Wee Ka Siong melahirkan kekecewaan terhadap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang didakwa gagal memberikan penjelasan jelas berhubung status pelaksanaan projek Sistem Transit Aliran Automasi Bertingkat (E-ART) Johor yang dianggap kritikal menjelang operasi Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura pada Januari tahun depan.
Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, sehingga kini tiada kepastian diberikan mengenai tarikh pengeluaran Surat Setuju Terima (SST), permulaan kerja fizikal mahupun jangkaan operasi sistem pengangkutan awam berkenaan.
Beliau berkata, kegagalan memberikan garis masa yang jelas menimbulkan persoalan mengenai kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam mempercepatkan pelaksanaan projek strategik itu.
“Saya amat kecewa dengan penerangan yang tidak jelas serta sikap acuh tak acuh Kementerian Pengangkutan dalam mengutamakan dan mempercepatkan pelaksanaan projek E-ART Johor.
“E-ART ini bukan projek infrastruktur biasa. Ia amat kritikal bagi memastikan pergerakan penumpang dapat disuraikan dengan berkesan apabila RTS mula beroperasi nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ka Siong berkata, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum ini turut mengemukakan beberapa persoalan secara langsung mengenai bila projek itu akan bermula, bila SST akan dikeluarkan, bila kerja fizikal akan dimulakan dan bila ia dijangka beroperasi.
Bagaimanapun, beliau mendakwa Menteri Pengangkutan masih gagal memberikan jawapan yang spesifik terhadap persoalan berkenaan.
Sebaliknya, kata Ka Siong, Loke hanya menjelaskan bahawa projek itu berada di bawah proses Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) yang bernaung di bawah Jabatan Perdana Menteri.
“Dengan kata lain, Menteri Pengangkutan gagal menjawab soalan mengenai bila projek ini akan dilaksanakan dan seolah-olah cuba meletakkan tanggungjawab kepada pihak lain,” katanya.
Ka Siong menegaskan, E-ART adalah projek pengangkutan awam yang mempunyai kaitan langsung dengan kementerian berkenaan dan tidak sepatutnya dilihat sebagai urusan pihak lain semata-mata.
Beliau berkata, Johor Bahru berisiko berdepan kesesakan lalu lintas yang lebih serius sekiranya sistem pengangkutan awam yang berupaya menyokong operasi RTS tidak disiapkan mengikut jadual.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan penyaluran peruntukan sekurang-kurangnya RM10 bilion atau sehingga RM16.8 bilion kepada kerajaan negeri Johor bagi membolehkan projek berkenaan dilaksanakan secara langsung oleh negeri itu.
Katanya, Johor lebih memahami keperluan trafik setempat dan cabaran kesesakan yang perlu ditangani sebelum RTS mula beroperasi.
“Ini bukan soal politik, tetapi soal kehidupan harian rakyat Johor dan masa depan pertumbuhan ekonomi negeri.
“Johor berhak mendapat perhatian serius, keutamaan, layanan adil dan komitmen yang sama daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

