Bekas tentera mula bertugas sebagai warden MRSM Rabu ini, MARA tekad banteras buli

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

SERAMAI 16 warden lelaki sepenuh masa dalam kalangan bekas anggota tentera akan mula melaporkan diri di lapan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) terpilih bermula Rabu ini, dalam usaha memperkukuh disiplin pelajar serta membanteras gejala buli di institusi berkenaan.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penempatan warden itu termasuk di MRSM Muar, dengan harapan tiada lagi kes buli dilaporkan selepas ini, selain dapat meningkatkan tahap disiplin dalam kalangan pelajar.

Beliau berkata, pelantikan warden terbabit dibuat menerusi proses saringan yang amat ketat dan menyeluruh, dilaksanakan secara bersama oleh anak syarikat MARA, Glokal Link Sdn Bhd (GLSB), Bahagian Pendidikan Menengah MARA, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), TalentCorp serta Seksyen Psikologi dan Kaunseling Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Proses pemilihan bukan hanya bergantung kepada temu duga fizikal, sebaliknya calon turut melalui pelbagai peringkat penilaian termasuk ujian psikometrik MyNext OCEAN dan RIASEC, ujian psikologi ketenteraan, saringan kesihatan mental, pemeriksaan indeks jisim badan (BMI), bleep test serta temu duga oleh panel pelbagai agensi.

“Komponen penilaian psikologi turut memberi penekanan kepada aspek perlindungan kanak-kanak, kawalan impuls, batas profesional, integriti serta indikator risiko salah laku seksual,” katanya.

Asyraf berkata, seramai 147 calon menghadiri temu duga fizikal pada 15 dan 16 Jun lalu di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (INTEM), Kepong, selepas melepasi tapisan awal dan tapisan kedua.

Katanya, semua calon juga terlebih dahulu disaring oleh JHEV dan TalentCorp bagi memastikan hanya veteran ATM yang menamatkan perkhidmatan secara terhormat serta tidak mempunyai rekod salah laku, disiplin berat atau pelanggaran undang-undang dipertimbangkan.

Beliau berkata, sebelum surat tawaran dikeluarkan, GLSB turut menjalankan semakan lanjut termasuk rekod jenayah menerusi Polis Diraja Malaysia (PDRM), semakan Daftar Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkaitan pesalah jenayah seksual terhadap kanak-kanak serta rekod disiplin dan dokumen berkaitan.

Selain itu, calon akhir turut diwajibkan menjalani penilaian bersama pegawai psikologi atau kaunselor ATM, termasuk komponen biofeedback yang memfokuskan kepada perlindungan kanak-kanak, risiko salah laku seksual, kawalan impuls, batas interaksi antara warden dan pelajar serta kesesuaian psikologi untuk bertugas di asrama MRSM.

“Prinsip GLSB jelas, tiada surat tawaran atau pelantikan akan dikeluarkan selagi semua tapisan penting belum disempurnakan. Hanya calon yang benar-benar layak, bersih, berintegriti dan sesuai menjaga pelajar MRSM akan dipertimbangkan,” katanya.

Bagi fasa pertama, seramai 16 warden lelaki akan ditempatkan di lapan MRSM terpilih bermula 1 Julai, manakala keseluruhan keperluan ialah 32 warden membabitkan dua lelaki dan dua wanita bagi setiap MRSM.

Asyraf berkata, proses pengambilan warden wanita sedang berjalan dengan 162 permohonan diterima, manakala ujian dalam talian diadakan pada 25 Jun lalu dan temu duga fizikal dijadualkan berlangsung pada 2 Julai.

Beliau berkata, pelantikan warden wanita dijangka dibuat sejurus selepas fasa pertama selesai, tertakluk kepada penyempurnaan proses tapisan yang sama ketat.

“MARA akan memastikan keseluruhan proses ini dilaksanakan secara teliti, berintegriti, mematuhi undang-undang serta mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan pelajar MRSM bagi memenuhi harapan masyarakat, ibu bapa dan semua pihak berkepentingan,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kerajaan MADANI komited pastikan setiap kerajaan negeri terima sokongan yang diperlukan – Saifuddin

KERAJAAN MADANI kekal komited memastikan setiap kerajaan negeri menerima sokongan yang diperlukan berdasarkan keperluan pembangunan serta kesejahteraan rakyat. Menteri Dalam...

More Articles Like This