shah flavor

BAGImereka yang gemar menikmati hidangan seperti char kuey tiow dan ingin menghasilkan sendiri juadah popular dari Pulau Pinang ini, sos char kuey teow Syah Flavor adalah produk yang harus anda cuba.

Produk keluaran syarikat ES Fusion (M) Sdn. Bhd. yang dimiliki sepenuhnya oleh bumiputera ini memudahkan dan juga menjimatkan masa selain mudah disediakan untuk keluarga atau diri sendiri. Ramuan dalam sos Syah Flavor sudah lengkap dan dengan sukatan yang betul anda boleh menyediakan hidangan tanpa perlu bahan perasa lain.

Selain sos char kuey teow, Syah Flavor juga menawarkan pilihan sos lain seperti sos seasoning, kicap manis, kicap masin, kicap cair dan macam-macam lagi.

Antara produk keluaran Syah Flavor

Menurut pemilik Syah Flavor, Mohamed Shaharini Abd Ghani atau mesra disapa Syah, sos char kuey teow yang merupakan produk keluaran pertama Syah Flavor pada asalnya dihasilkan untuk kegunaan sendiri semasa beliau menjadi cef di sebuah restoran.

“Pada masa itu majikan ingin rasa char kuey teow yang disediakan sentiasa sama. Jadi saya hasilkan sos char kuey teow untuk kegunaan sendiri agar rasanya seragam setiap kali memasak hidangan tersebut. Selepas itu, timbul idea untuk komersilkan sos char kuey teow resepi saya sendiri itu dan saya mula membuat penyelidikan dan pembangunan sendiri.

“Syah Flavor mula beroperasi pada tahun 2010 di Melaka Halal Hub Serkam, Melaka. Sambutan dan permintaan yang diberikan oleh amat menggalakkan. Selain menjual untuk kegunaan dirumah, Syah Flavor juga menjual dalam kuantiti yang banyak untuk peniaga makanan.

“Setelah enam tahun beroperasi, Syah Flavor membuka sebuah lagi kilang di Pusat Perindustrian Selaman, Seksyen 10, Bandar Baru Bangi dalam usaha mempertingkatkan pengeluaran dan mempelbagaikan lagi produk.

Pemilik Syah Flavor, Mohamed Shaharini Abd Ghani atau lebih dikenali sebagai Syah

“Produk Syah Flavor menggunakan bahan-bahan mentah tempatan dan berkualiti tinggi. Ia dihasilkan tanpa MSG, pewarna dan perasa tiruan. Saya sentiasa membuat penyelidikan dan pembangunan untuk meningkatkan kualiti dan rasa produk Syah Flavor selain menghasilkan produk-produk baharu,” ujarnya. 

Produk Syah Flavor boleh didapati di pasaraya Mydin, Melaka Family Store dan juga melalui agen-agen di seluruh Malaysia. Selain itu, produk tempatan ini sudah menembusi pasaran Singapura. Ia boleh didapati di kedai Nikmart dan Agro Bazaar Malaysia di sana.

Selain menjual di pasaraya dan kedai, produk Syah Flavor turut menggunakan medium lain untuk memasarkan produk dengan menggunakan pendekatan menerusi trak makanan atau food truck untuk bukan saja memasarkan malah mempromosikan produk mereka.

Menggunakan trak makanan sebagai medium untuk memasarkan produk

“Untuk mengukuhkan kedudukan dalam pasaran, saya telah menggunakan food truck untuk menjelajah seluruh Semenanjung untuk mempromosikan dan memperkenalkan produk Syah Flavor menerusi bantuan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Kementerian Pertanian dan Asas Tani Malaysia (MOA).

“Food truck ini bukan sahaja menjual makanan yang menggunakan produk sos Syah Flavor seperti char kuey teow malah turut menempatkan produk jika ada pelanggan mahu membeli dan bawa pulang produk sos saya.

“Alhamdulillah strategi ini berkesan dan kini Syah Flavor muncul dengan sebuah lagi food truck yang menjual laksa dan sup utara dengan menggunakan pes Syah Flavor. Food truck ini adalah khusus untuk memperkenalkan produk terbaharu kami iaitu pes laksa dan pes sup utara,” kata Syah.

Bagi yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang produk Syah Flavor boleh search Syah Flavor di laman Facebook dan Instagram.