garsa kitchen

SEMANGAT membuat sesuatu sehingga menjadi akhirnya  membuahkan hasil buat pasangan suami isteri, Natasha Helwa Ramlee, 25 tahun dan suaminya, Mohd Anil Ali Mohamad, 33 apabila perniagaan sandwich homemade yang diusahakan iaitu, Garsa Kitchen semakin  mendapat permintaan yang sangat tinggi.

Mula beroperasi sejak tahun 2014, Garsa Kitchen adalah perniagaan makanan menerusi atas talian (online) dan membuat penghantaran makanan terus kepada pelanggan menggunakan khidmat penghantaran.

Bercerita tentang sejarah penubuhan Garca Kitchen, Natasha yang sebelum ini bergelar suri rumah sepenuh masa memberitahu bahawa pada asalnya beliau menghasilkan sandwich atas permintaan makciknya yang ingin mengadakan majlis sambutan harijadi.

“Saya memang suka memasak dan mencuba pelbagai resipi. Makcik menghubungi saya dan meminta saya menyediakan makanan yang ringkas untuk majlis yang ingin diadakan. Saya sediakan sandwich untuk jamuan tersebut.

“Pada majlis itu, tak sangka ramai yang memuji sandwich yang saya hasilkan. Sejak itu saya mengorak langkah menjual sandwich dan mengambil tempahan daripada keluarga dan rakan-rakan terdekat.

“Semakin hari semakin ramai yang tempah hasil bercerita mulut ke mulut tentang perniagaan saya ini. Saya mula membuka akaun Instagram dan Facebook sebagai medium pemasaran untuk mempromosikan dan mengetengahkan jenama Garsa Kitchen.

“Dulu semuanya saya buat sendiri, daripada membeli bahan-bahan, proses penyediaan hinggalah penghantaran. Selepas tujuh bulan beroperasi, akhirnya suami mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan fokus membantu saya mengembangkan perniagaan sandwich ini.

Dibuat segar menggunakan bahan-bahan mentah yang premium dan berkualiti tinggi

“Kami memang jenis yang bersungguh dalam melakukan sesuatu. Oleh itu kami ingin memastikan perniagaan ini ‘menjadi’ dan ‘viral’. Pada suatu hari kami menerima tempahan oleh Johan Raja Lawak dan isteri beliau, Ozlyn telah mempromosikan sandwich kami di instagram beliau.

“Siapa sangka selepas sandwich kami menjadi ‘viral’, ia  mendapat permintaan yang sangat tinggi. Memang pada masa itu kami kadang-kadang sempat tidur hanya dua jam kerana sibuk menyiapkan pesanan pelanggan.

“Alhamdulillah, perniagaan yang kami usahakan berjaya dan semakin berkembang. Kini kami sudah mempunyai lokasi dan kakitangan yang mencukupi untuk melicinkan operasi Garsa Kitchen.

“Sebelum ini kami hanya beroperasi di rumah. Kami telah memindahkan operasi perniagaan kami di sebuah kedai di Wangsa Maju. Di situ terdapat pejabat dan ruang penyediaan untuk sandwich kami. Pelanggan juga boleh datang terus untuk mengambil pesanan, ” jelas Natasha.

Pada awal penubuhan, Garsa Kitchen hanya menawarkan dua pilihan menu iaitu tuna dan telur. Kini, terdapat pelbagai pilihan menu seperti Beeftastic, Eggstasy, Tuna Turner, Chickster, Fiesta, Chicken In A Bikini, Tuna On Fire, Eggxtra-Ordinary Chicken, Vecheesetable, Perkey Turkey, Sloppy Beef . Ke semua menu ditawarkan dalam dua pilihan hidangan dalam kotak saiz M (12 keping) dan L (24 keping).

“Resipi menu yang ditawarkan oleh Garsa Kitchen adalah daripada idea saya sendiri dan tidak merujuk atau meniru mana-mana resipi. Sandwich kami dibuat segar setiap hari menggunakan bahan-bahan mentah yang premium dan berkualiti tinggi.

“Selain menu yang ada, Garsa Kitchen juga menawarkan menu istimewa terhad yang hanya ditawarkan dalam tempoh tiga bulan. Menu istimewa terhad ini akan berubah-ubah setiap tiga bulan,” tambah Natasha.

Garsa Kitchen menggunakan konsep penghantaran terus ke pelanggan dengan menggunakan khidmat penghantar sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam. Garsa Kitchen turut membuat penghantaran ke kawasan lain seperti Kota Damansara, Puchong, Putrajaya, Cyberjaya, Seri Kembangan, Kajang, Bangi dan Bukit Jalil dengan pesanan minimum lima kotak saiz L. Setiap penghantaran dikenakan caj bergantung kepada kawasan.

Bagi yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang Garsa Kitchen boleh layari laman instagram @garsakitchen dan laman facebook – Garsa Kitchen atau www.garsakitchen.com.