ANALISIS
SEBENARNYA sejak awal apabila UMNO memutuskan untuk bersama Bersatu menubuhkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ia dianggap tindakan yang pelik.
Ia kerana Bersatu adalah parti serpihan UMNO yang ditubuhkan oleh bekas pemimpin UMNO dan terdapat berbelas-belas ahli Parlimen UMNO yang melompat ke dalam parti di bawah kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu. Pada awalnya semua nampak ‘ok’ tetapi sekarang segalanya akan menjadi ‘KO’.
Mesyuarat Bahagian UMNO yang bermula semalam mengukuhkan fakta bahawa tidak mungkin hubungan antara UMNO dan Bersatu dapat diperbaiki. UMNO bahagian menyatakan dengan tegas mereka tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Mereka juga akan memastikan semua kerusi yang menjadi milik UMNO sebelum ini termasuk yang kini beralih arah kepada Bersatu akan ditandingi. Kepimpinan UMNO di Pahang dan Kelantan pula tidak mahu Bersatu bertanding di negeri itu. Momentum atau sentimen ini turut berlaku di negeri-negeri lain.
Berdasarkan senario itu tidak keterlaluan kalau dikatakan secara tidak rasmi hubungan UMNO dan Bersatu sudah berakhir, apa yang ada hari ini hanyalah hubungan bertaraf ‘nyawa-nyawa ikan’ memandangkan UMNO masih berada dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
UMNO sudah hampir pasti tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15 manakala hubungan dengan Pas pula ibarat ‘retak menanti belah’. Dalam UMNO pun sudah ada yang merasakan parti itu tidak memerlukan Pas kerana tidak berpuashati dengan sikap Pas yang menjadi komponen Perikatan Nasional tanpa berbincang dengan UMNO.
Oleh itu bagi mengelakkan ahli-ahli di peringkat umbi ‘pening kepala’, UMNO perlu membuat ketetapan rasmi dalam soal hubungan dengan Bersatu dan Pas. Nyatakan secara terus terang apakah hubungan dengan kedua-dua parti itu akan diteruskan atau berakhir sebaik sahaja Parlimen dibubarkan?
Paling baik, UMNO perlu mengumum menarik sokongan daripada Kerajaan PN. Melalui langkah itu ia akan memberi ruang kepada Muhyiddin membuat langkah seterusnya, sama ada memohon pembubaran Parlimen atau berusaha mencari sokongan lain bagi mengelakkan kerajaan sedia ada tumbang.
UMNO tidak boleh lagi berdolak dalik atau sekadar membiarkan seorang dua pemimpinnya menjadi ‘panglima perang’ dalam media-media sosial untuk memberi isyarat kepada Bersatu termasuklah kritikan-kritikan kepada Kerajaan PN, semua itu hanya membuang masa, mengelirukan rakyat dan menimbulkan lebih banyak perpecahan dalam kalangan orang Melayu.
Kepemimpinan tertinggi UMNO perlu menghormati pendirian UMNO bahagian-bahagian berhubung soal kerjasama dengan Bersatu dan Pas. Tidak payahlah tunggu lama-lama untuk membuat ketetapan rasmi. UMNO bahagian sudah bermesyuarat dan telah membuat ketetapan, kini masanya untuk bertindak.
Melalui cara itu, ia akan membolehkan ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi membuat persediaan bagi menghadapi PRU-15 dengan dalam fikiran mereka terbenam pemahaman parti itu akan turun ke gelanggang secara bersendirian, tanpa Bersatu, tanpa Pas.
Penulis percaya ahli-ahli akar umbi UMNO tidak ada masalah. Tetapi masalahnya ialah kepemimpinan UMNO ‘tidak pandai’ untuk menyampaikan mesej kepada akar umbi sehingga akhirnya ia menimbulkan kekeliruan ke mana sebenarnya UMNO mahu dibawa.
Bagi Bersatu pula, tiada apa yang perlu dirisaukan kerana mereka ada ‘pakar-pakar strategis politik’ yang sudah pasti memahami bagaimana parti berkenaan boleh mencapai kemenangan dalam PRU-15 tanpa bantuan UMNO.
Soal Pas, setakat ini tiada tanda-tanda Pas boleh menjadi orang tengah bagi menyatukan Bersatu dan UMNO, sebaliknya Pas pula dilihat berada dalam dilema kerana dituduh ‘bermain di dua kolam’, harap Pas tidak akan ‘kelemasan’.
Kesimpulannya, harapan orang Melayu untuk melihat tiga parti Melayu itu bergabung bagi memperkukuhkan kembali kuasa politik Melayu mungkin tidak kesampaian, namun tiada apa yang mahu disedihkan kerana bagi ahli politik Melayu dendam politik dan kuasa lebih penting daripada penyatuan ummah.

