Kereta rasmi baru Ketua Menteri Pulau Pinang jadi perdepatan warga maya./ Gambar media sosial

PULAU PINANG – Media sosial hari ini hangat membincangkan langkah kerajaan DAP Pulau Pinang membeli kereta Mercedes S560e yang bernilai hampir setengah juta ringgit untuk kegunaan rasmi Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Bukan mempersoalkan hak seseorang Ketua Menteri untuk memiliki kenderaan rasmi, namun bagi mereka waktunya kurang sesuai ketika rakyat bergelut pandemik COVID-19 selain boleh mendapatkan model lain pada harga lebih munasabah.

Bagi netizen, ini sama seperti mana pemimpin DAP menyindir Kerajaan Pas Kelantan membeli kereta Mercedes untuk kegunaan anggota exco tidak lama dahulu.

Bahkan hantaran Kon Yeow bagi menjelaskan pembelian kereta tersebut turut dihujani komen netizen yang rata-ratanya mempersoalkan pembelian tersebut.

Malah seorang pengguna akaun RV Rajan sempat meminta kerajaan Pulau Pinang menurunkan cukai taksiran di negeri itu.

“Adakah ini waktu yang tepat untuk menggantikan kenderaan rasmi Ketua Menteri,” soal pemilik akaun Facebook, Eng King Lim.

“Penang cakap tak ada duit? Tapi Ketua Menteri Pulau Pinang dapat kereta baru RM458,000 Mercedes-Benz?,” soal Qie Ann.

Menurut kerajaan negeri, Kon Yeow telah dibekalkan dengan kereta rasmi baharu model Mercedes S560e bagi menggantikan kereta Mercedes S300L yang dibeli pada 2013.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang dalam satu kenyataan hari ini berkata, pembelian kereta itu mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pulau Pinang pada 29 November 2019.

“Pembelian Mercedes S560e adalah sebagai menggantikan kereta rasmi sedia ada, Mercedes S300L yang dibeli dengan harga RM298,263.75 pada 2013,” katanya.

Menurut kenyataan itu, tarikh pembelian Mercedes S560e adalah pada 31 Disember 2020 dengan kos pembelian sebanyak RM458,122.78, iaitu penjimatan sebanyak RM127,765.22 daripada harga asal.