WASHINGTON – Selepas dua bulan lebih berdegil, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akhirnya akur dengan keputusan Kongres yang mengesahkan keputusan pemilihan Presiden November lalu dan berikrar akan memastikan ‘perubahan kuasa yang licin’

Penggubal undang-undang di Senat dan Dewan Perwakilan menolak usaha Republikan menafikan kemenangan Biden dalam pilihan raya presiden, disusuli sorakan kegembiraan apabila pengesahan itu diumumkan sebentar tadi.

Pengesahan kemenangan Biden dengan 306 undi berbanding 232 undi bagi Trump pada November lalu itu, menutup pintu kepada usaha kontroversi beliau dan pengikutnya untuk mengubah keputusan pilihan raya presiden AS 2020.

Namun, Trump masih membayangkan akan terus terbabit dalam politik, dengan spekulasi beliau mungkin bertanding semula pada 2024.

“Walaupun saya amat tidak bersetuju dengan keputusan pilihan raya presiden, perubahan kuasa akan tetap berjalan lancar pada 20 Januari nanti (majlis angkat sumpah Presiden baru).

“Saya selalu mengatakan kami akan meneruskan perjuangan bagi memastikan hanya undi yang sah dikira.

“Walaupun ini menandakan berakhirnya penggal pertama terhebat dalam sejarah Presiden AS, ia hanya permulaan kepada perjuangan memastikan AS kembali hebat,” katanya.

Pengesahan itu dibuat beberapa jam selepas perusuh menerobos masuk ke Capitol Hill menyebabkan penggubal undang-undang bertempiaran lari, sebelum kembali semula untuk menyempurnakan tugas.

Sekurang-kurangnya empat penyokong tegar Trump maut dalam rusuhan keganasan di bangunan Capitol Hill, termasuk seorang wanita dikenali sebagai Ashli ​​Babbitt, yang juga veteran tentera pernah dengan Tentera Udara AS.

Menurut Ketua Polis Washington DC, Robert Contee, mangsa ditembak oleh pegawai polis Capitol berpakaian biasa, lapor agensi berita Anadolu.