ANALISIS

Sejak malam tadi heboh dalam media-media sosial kononnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan semula. Kelam kabut semua orang, hari ini isu tu semakin heboh, yang seronoknya nama Pejabat Perdana Menteri (PMO) pun ‘turut dijual’.

Bila sebut sahaja ‘PMO’ mula la semua orang panik. Dah tak peduli dah, berita tu sahih ke tidak, betul ke tidak, akhirnya semua duduk tak senang. Dok fikir betapa ‘seksanya’ kalau PKB dibuat. Betapa sengsaranya terpaksa dok kat rumah tak boleh keluar pi mana-mana.

Nasib baiklah hari ini Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang akhbar menjelaskan, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuat pengumuman Isnin ini berhubung pendekatan terbaru kerajaan bagi mengawal penularan Covid-19 yang kini menyaksikan kes harian melepasi angka 3,000.

Jadi semua harus bertenang dah tunggu sahaja pengumuman PM. Jangan dok percaya mesej-mesej yang tular sebab jenis ‘Kluster 99.9 persen’ ni ramai. Jangan terkejut kalau lepas ni tular pula ada saudara kerja kat Istana Negara bagi tau Yang di-Pertuan Agong akan isytihar darurat dan maklumat tu 100 persen sahih.

Yang penting sekarang ialah kita semua kena patuhi SOP. Sebelum ini kerajaan sudah beri kelonggaran termasuk rentas negeri, tetapi soalnya adakah kita betul ikut SOP. Yang dok berduyun-duyun pergi melancong tu adakah semua ikut SOP? Kalau ikut baguslah dan terima kasih, tetapi masalahnya ada dalam kalangan kita yang degil.

Orang cakap jangan berkumpul buat majlis keraian ada yang buat, orang tak bagi sambut tahun baru, mereka pi buat sampai ada yang kena Covid-19. Puak-puak macam inilah yang menyusahkan orang sama dengan ‘Kluster 99.9 persen’.

Penulis percaya tak ramai ‘Kluster degil’ tetapi akibat kedegilan mereka, semua orang akan tanggung akibat. Penulis bukan cakap kosong, penulis dah tengok perangai puak-puak ini.

Betullah kerajaan dah bagi kelonggaran boleh rentas negeri sehingga jutaan orang boleh melancong tetapi jagalah SOP. Dan sekarang bila kes semakin meningkat, tak payahlah nak kelam kabut kalau betul PKP nak dikuatkuasakan semula.

Apa lagi pilihan yang kerajaan ada selain terpaksa memperketat SOP waima terpaksa buat PKP sekalipun, tetapi ramailah yang akan menderita terutama golongan berpendapatan rendah, peniaga kecil dan lain-lain.

Itu tak kira lagi ramai akan hilang kerja. Kasihanlah mereka.Bila hilang kerja kerajaan terpaksa benar keluar duit KWSP, ‘kasihan ELYA’ jenuh lagi nak bagi nasihat.

Penulis sebut pasal PKP ni bukan maknanya perintah itu akan dibuat. Penulis pun tidak tahu apa yang Perdana Menteri nak umumkan sebab ‘tak ada kakak’ kerja kat PMO tetapi cuma berharap pengumuman tersebut tidak sampai akan menjejaskan pendapatan rakyat.

Mungkin cara terbaik, jangan bagi rentas negeri di negeri-negeri yang ada kes tinggi atau zon merah. Bila tak ada rentas negeri, tak ada la sapa-sapa nak pi melancong. Cara itu sudah pasti dapat elak Covid-19 merebak.

Selain itu restoran, kedai makan di kawasan zon merah, tak payah bagi makan di situ @lepak, suruh bungkus sahaja, susah-susah guna khidmat penghantar makanan.

Tempat-tempat macam tu la antara penyebab Covid-19 menular. Bukan salah pemilik restoran atau kedai makan tetapi ada pelanggan degil, tak ikut SOP.

Jadi kalau rakyat terutama di kawasan Zon Merah tidak mahu PKP, patuhilah SOP. Bukan susah sangatpun. Bagi negeri yang zon hijau atau kes tak serius, jangan pula dok seronok dan rasa semua ok, mereka juga kena jaga SOP untuk elak kes meningkat, lagipun kita tak tahu virus tu ada kat mana.

Akhir sekali, kepada ‘Kluster 99.9 persen’, hentilah perbuatan tak faedah anda, tak kisahlah ada saudara kerja kat White House sekalipun, jangan sebarkan benda yang tak pasti. Biarlah pihak kerajaan buat kerja mereka. Jangan tunjuk pandai dan hebat, kerajaan baru dok perhalusi, ‘kakak anda’ dah tahu PKP akan dilaksanakan, ELYA pun kagum.

Apapun marilah sama-sama kita patuhi SOP, inshaallah kalau semua bersatu hati ‘kitajagakita’, kita akan berjaya tewaskan Covid-19.