KUALA LUMPUR – Dari segi kes baru, jumlahnya turun sedikit berbanding semalam dengan 2,643 penularan direkodkan hari ini.
Namun, kematian akibat COVID-19 yang dilaporkan di seluruh negara mencecah 16 kes – tertinggi yang pernah dilaporkan dalam tempoh sehari setakat ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan pertambahan hari ini, jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia kini berjumlah sebanyak 131,108 kes.

Menurut beliau, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 25,140 kes dan daripada jumlah kes baru hari ini, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.
Katanya, bagi kes penularan di dalam negara, 1,666 kes adalah warganegara Malaysia (63 peratus) dan 975 kes adalah bukan warganegara.
“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,086 kes (41.1 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 904 kes (83.2 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.
“Ini diikuti oleh Sabah sebanyak 401 kes (15.2 peratus) dan Johor sebanyak 298 kes (11.3 peratus),” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Sehingga kini, katanya, terdapat 170 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 82 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan 16 kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 537 kes (0.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
“Untuk makluman, peningkatan kes-kes kematian pada hari ini adalah berikutan terdapat kes-kes yang memerlukan tempoh masa tertentu untuk siasatan lebih lanjut dijalankan sebelum kematian tersebut disahkan adalah disebabkan oleh COVID-19,” jelasnya.

Tambah Noor Hisham, tiga negeri melaporkan kes kematian hari ini iaitu Selangor, Sabah dan Johor dengan pesakit tertua berusia 79 tahun manakala termuda berusia 44 tahun.
“KKM juga ingin memaklumkan sebanyak 57 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini. Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Sungai Putus (374 kes), Kluster Jalan Klinik (132 kes), dan Kluster Penjara Jalan Harapan (73 kes).
“Hari ini juga menyaksikan terdapat enam kluster baharu yang telah dikenal pasti iaitu di Sbaah, Selangor dan Kuala Lumpur,” ujarnya.

