KUALA LUMPUR – Fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah tidak mampu untuk menampung peningkatan sehingga 2,000 kes baharu COVID-19 setiap hari seperti yang dilaporkan ketika ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, malah terdapat lebih dari 1,450 orang anggota perubatan di hospital seluruh negara yang telah dijangkiti atau terpaksa menjalani arahan kuarantin dan tidak dapat bertugas.
Menurut beliau, 15 buah hospital COVID-19 mencatatkan kadar penggunaan katil COVID-19 (bukan ICU) melebihi 70 peratus.
Katanya, di Lembah Klang kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit COVID-19 di Hospital Kuala Lumpur dan di Pusat Perubatan Universiti Malaya telah mencapai 100 peratus manakala di Hospital Sungai Buloh pula telah mencapai 83 peratus.
“Peningkatan jumlah pesakit secara mendadak akan melumpuhkan kapasiti sistem kesihatan sedia ada dalam sekelip mata. Ia tidak lagi mampu untuk menampung jumlah pesakit yang memerlukan rawatan dan kes-kes kematian akan terus meningkat.
“Tidak mudah untuk saya mengatakan semua ini tetapi inilah realiti yang berlaku sekarang dengan berbagai kemungkinan yang terpaksa kita hadapi sekiranya dibiarkan berlarutan tanpa sebarang campur tangan atau intervensi kesihatan awam yang lebih ketat,” katanya ketika menyampaikan perutusan khas petang tadi.

Menurut Muhyiddin, berdasarkan nilai R-naught semasa yang berada pada paras 1.1 bagi kadar kebolehjangkitan COVID-19 di Malaysia, unjuran kes harian di negara ini dijangka boleh mencecah sehingga 5,000 kes sehari pada minggu kedua bulan April 2021.
Katanya, ia akan melonjak kepada 8,000 kes sehari pada minggu keempat bulan Mei 2021 dan semakin tinggi nilai R-naught, semakin sukar untuk mengawal penularan kerana semakin ramai yang telah dijangkiti.
“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac telah berjaya menurunkan nilai R kepada 0.335, sekaligus mengurangkan kes jangkitan COVID-19 kepada angka satu hingga dua digit sehari.
“Trend ini nyata amat membimbangkan dan Kerajaan sedar bahawa pendekatan yang lebih tegas mesti diambil bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 ini, sekaligus menurunkan bilangan kes positif harian ke satu tahap yang terkawal dan boleh diuruskan dengan lebih berkesan.
“Kerajaan mendengar keluhan dan cadangan daripada rakyat seluruhnya yang amat bimbang dengan perkembangan peningkatan kes kebelakangan ini,” jelasnya.
Tambah Perdana Menteri, kerajaan juga sangat memahami beban tugas yang dihadapi oleh petugas-petugas kesihatan kita berikutan peningkatan kes yang mendadak.
“Frontiners kita semakin penat dan kesihatan awam negara semakin tenat.
“Bencana banjir dan peningkatan kes di beberapa negeri juga menyukarkan proses mobilisasi anggota di dalam negeri dan juga di antara negeri. Ini menyukarkan usaha menambah bilangan katil ICU untuk pesakit kritikal,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 2,232 jangkitan baharu COVID-19 direkodkan, hari ini, dengan Selangor terus menjadi penyumbang angka harian tertinggi.
Pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif mencecah 138,224 jangkitan di Malaysia dengan 28,554 kes aktif, setakat tengah hari tadi.

