ANALISIS
Beberapa hari lalu sudah tersebar khabar angin Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan ke Singapura untuk menjalani rawatan kanser justeru beliau akan melantik Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Hari ini Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan menafikan kedua-dua khabar angin.
Tetapi sebelum itu khabar angin berhubung perkara tersebut khususnya melibatkan pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri menimbulkan huru-hara dalam kalangan penyokong, cyber trooper dan penyokong setia pemimpin tertentu dalam UMNO, malah ada yang menggunakan perkataan cukup biadab sehingga sanggup menghina bapa dan Datuk kepada Hishammuddin. Entah apa dalam kepala mereka.
Hanya kerana khabar angin yang belum pasti kebenarannya masing-masing sudah macam ‘kera kena belacan’, meroyan tak tentu pasal sedangkan ia akhirnya disahkan oleh Pejabat Perdana Menteri sebagai tidak benar. Pelik sungguh manusia berpolitik. Sudah tidak tahu batas dan adab lagi, agaknya.
Peliknya ada antara mereka yang mengulas khabar angin boleh dianggap orang bijak pandai, maklumlah pernah bertugas dengan pemimpin kanan negara satu ketika dahulu, tetapi sayang terlalu mudah melatah bila mendengar berita palsu seumpama itu.
Pelbagai hujah dikeluarkan seolah-olah pelantikan itu sudah benar-benar berlaku.
Kalaupun tidak suka kepada Muhyiddin atau Kerajaan Perikatan Nasional tidak perlu terus melakukan ‘serangan’ dan tuduhan melampau yang akhirnya menampakkan kejahilan kita dalam menguruskan khabar angin.
Kenapakah tidak mendapat pengesahan dahulu sebelum membuat apa-apa komen dalam media sosial atau portal berita? Sekarang siapa yang malu? Mungkin istilah malu ini tidak ada dalam kamus politik puak-puak yang fikiran mereka sudah ‘berulat’ dengan politik benci kepada Muhyiddin tetapi rakyat akan melihat betapa tidak cerdiknya kelompok berkenaan.
Mungkin juga sebenarnya, mereka tahu perkara itu tidak betul tetapi sengaja buat-buat tak tahu kerana bagi golongan seumpama ini, apa sahaja berkaitan Muhyiddin sama ada betul atau tidak, harus ‘diserang’ habis-habisan. Sikap itu akan berterusan sehinggalah mereka berjaya menyingkirkan Perdana Menteri dan meranapkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Turut dikesalkan ialah kesihatan Perdana Menteri pun mahu dijadikan modal politik sehingga sanggup membuat ulasan kononnya Muhyiddin ke Singapura untuk mendapat rawatan susulan dan mendakwa kesihatan beliau semakin merosot.
Rawatan susulan apanya? Perdana Menteri sudah disahkan bebas daripada penyakit kanser oleh pakar-pakar perubatan yang merawat beliau. Perkara ini juga ditegaskan dalam kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Tidak tahu siapa yang menyebarkan dakyah tersebut tetapi apapun kalau mahu berpolitik pun berpada-padalah, soal kesihatan orang tidak kira sama ada musuh atau kawan, tidak perlu dipolitikkan. Carilah modal lain. Hanya orang yang terdesak sahaja akan menggunakan modal seumpama itu untuk meraih sokongan.
Kesimpulannya, apa yang berlaku membuktikan budaya berpolitik dalam kalangan sesetengah pihak sudah semakin teruk. Mereka sanggup menyebarkan apa sahaja, berkata apa sahaja terhadap lawan tanpa mengira betul atau tidak, benar atau salah, dosa atau pahala. Malang sungguh!