ADUN Galas, Mohd Syahbuddin ketika meninjau bencana banjir di Gua Musang, 6 Januari lalu./ Gambar FB Mohd Syahbuddin

GUA MUSANG – Selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri disahkan positif COVID-19 kelmarin, hari ini seorang lagi ADUN di dalam Parlimen Gua Musang disahkan positif virus itu.

Menurut ADUN Galas, Mohd Syahbuddin Hashim, turut disahkan positif isterinya Nor Azila Sidi.

Katanya, beliau dan isteri melakukan ujian saringan selepas ADUN Nenggiri, Ab Aziz Yusoff disahkan positif wabak itu, bersama Ketua Pemuda UMNO Gua Musang Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, dua hari lalu.

Berkongsi perkara berkenaan di Facebook, Mohd Syahbuddin memohon maaf dan memohon doa daripada semua pihak bagi kesembuhannya dan keluarga.

“Kepada semua yang ada berhubung rapat dengan Abe Din (Mohd Syahbuddin) dan Cikgu Laa (Nor Azila), Abe Din pohon jutaan maaf kerana mungkin menyusahkan tuan/puan yang terpaksa kena swab test (ujian saringan) dan mungkin terkena jangkitan.

“Gua Musang telah diisytihar Zon Merah. Berhati-hatilah semua. Kepada Allah kami berserah,” katanya dalam hantaran yang dimuat naik pagi ini.

Kedua-dua mereka akan menjalani rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.

Nor Azila juga adalah guru Sekolah Kebangsaan Sri Wangi 2, Gua Musang.

Sepanjang musim banjir yang melanda hulu Kelantan, Syahbuddin turut terlibat membantu mangsa dan meninjau proses pemindahan serta penempatan mangsa di pusat pemindahan.

Semalam, Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed memaklumkan dijangkiti COVID-19 dan terbaru, seorang lagi anggota Kabinet Datuk Seri Rina Harun turut positif virus tersebut.