Kuala Lumpur – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed merayu ahli Parlimen supaya menghentikan politiking, sebaliknya bersama-sama membantu rakyat yang kini diancam pandemik tersebut.
Melalui kenyataan dalam Facebooknya, Mustapa yang disahkan positif jangkitan Covid-19 dan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) berkata, dengan mereka bersatu sahaja krisis yang amat mencabar itu dapat ditangani.
‘’Hentikan politiking. Letakkan perbezaan politik di tepi dan tumpukan perhatian kepada rakyat yang dahagakan pertolongan,’’ katanya.
Beliau berkata, sebagai salah seorang yang sedang menerima rawatan, beliau amat memahami kata-kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin yang menegaskan, demi negara, wabak itu perlu dikawal dengan penuh ketegasan.
‘’Pengumuman darurat oleh Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri hari ini amat penting bagi memastikan kita menang dalam memerangi Covid-19 dan memulih serta menstabilkan ekonomi,’’ katanya.
Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli mengingatkan rakyat, tanggungjawab mereka amat besar.
‘’Jangan leka daripada mematuhi SOP. Elak ruang sempit, elak sembang dekat dan elak tempat sesak. Sentiasa jaga jarak, cuci tangan, pakai pelitup muka. Hanya ini cara untuk elak penularan. Kita jaga kita,’’ katanya.
Beliau juga bersyukur kerana kesihatannya semakin baik, suhu normal dan tiada batuk.
‘’Terima kasih kepada semua yang menyampaikan ucapan, yang berdoa dan solat hajat. Di HRPZ 2, doktor, jururawat dan seluruh warga hospital, memberikan perkhidmatan terbaik. Saya juga yakin warga KKM dan frontliners di seluruh negara sedang melaksanakan tugas mereka dengan penuh komitmen dan tanggungjawab.
‘’Bagi mereka yang sedang dirawat di pusat kuarantin atau di hospital amat memahami betapa tekanan yang dirasai oleh perkhidmatan kesihatan di seluruh negara,’’ katanya.
Jom join channel Telegram UtusanTV untuk tidak terlepas berita terkini dan artikel menarik

