Ahli politik tidak perlu gelabah, jika benar berjuang demi rakyat

0
1284

Ahli-ahli politik tidak kira daripada kerajaan mahupun pembangkang boleh berkata apa sahaja selepas Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal.

Seperti mana dijelaskan dalam kenyataan media oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, Seri Paduka memperkenankan pengisytiharan selepas berpandangan bahawa penularan wabak Covid-19 berada di tahap yang amat kritikal dan ada keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Harus diingat bukan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sahaja yang menghadap Seri Paduka sebaliknya Sultan Abdullah turut perkenan mendengar sembah taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr.Noor Hisham Abdullah, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Abdul Ghani Salleh, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia,Tan Sri Affendi Buang.

Selain itu perkenan itu juga telah mengambil kira rundingan Seri Paduka dengan Raja-Raja Melayu serta mengambil kira keselamatan diri rakyat dan kepentingan negara.
Justeru kalaulah mana-mana pihak masih lagi mahu bermain politik dengan mengaitkan pengisytiharan itu sebagai helah Muhyiddin tidak mahu mengadakan pilihan raya atau bimbang kerajaan jatuh berikutan satu demi satu ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap beliau, silakan sahaja.

Tetapi apa yang pasti pengisytiharan ini akan ‘menenangkan’ seketika gelora politik negara. Rakyat sudah bosan dengan karenah ahli politik yang saban hari terus bermain politik ketika pandemik Covid-19 sudah pun berada dalam kalangan masyarakat di mana sahaja.

Hari demi hari kes terus meningkat dan pada masa sama ahli politik terus memberi tekanan kepada Muhyiddin sehingga menyukarkan kerajaan memberi tumpuan kepada usaha memerangi Covid-19. Yang anehnya, mereka juga bijak berhujah apabila menyatakan kerajaan gagal menangani wabak itu.

Soalnya adakah mereka bertanya apa sumbangan mereka membantu kerajaan dalam ‘peperangan’ itu? Apa yang kita dengar ialah kritikan demi kritikan tidak kira sama ada daripada pemimpin dalam kerajaan mahupun pembangkang, seolah-olah mereka sahaja paling hebat dan paling bijak menguruskan negara.

Oleh itu sebelum ahli politik kedua-dua pihak mahu mengkritik tindakan Muhyiddin memohon pengisytiharan darurat, belajarlah untuk berdiri di depan cermin, fikirkan apa yang telah kalian lakukan sehingga kerajaan terganggu dalam memerangi Covid-19.

Siapa yang menarik balik sokongan? Siapa yang mendakwa ada cukup majoriti untuk menjadi Perdana Menteri? Siapa yang boleh dikatakan setiap hari sentiasa sahaja mengkritik tindakan Muhyiddin biarpun berada di blok kerajaan? Siapa yang merancang mahu menolak Belanjawan 2021?

Melalui pengisytiharan darurat ini, Muhyiddin akan mampu memberi tumpuan penuh kepada usaha tersebut tanpa perlu memikirkan siapa lagi yang akan menarik sokongan terhadap beliau sehingga pentadbiran kerajaan terganggu. Usahlah menuding jari kepada UMNO sahaja, sebaliknya semua ahli politik termasuk dalam Bersatu sendiri ‘ada saham’ sehingga arena politik negara tidak pernah aman.

Sekarang jika mereka betul-betul ikhlas mahu berjuang untuk rakyat maka mereka perlu bersama Muhyiddin dalan Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait seperti mana diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Penubuhan jawatankuasa ini membuktikan keikhlasan Muhyiddin bahawa pengisytiharan darurat ini bukanlah bermotif politik apatah lagi mahu mempertahankan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri, sebaliknya ia semata-mata mahu memerangi pandemik Covid-19 yang semakin mengancam nyawa rakyat negara ini.

Kalaulah Muhyiddin mahu mempertahankan kuasa sudah tentu beliau tidak akan mencadangkan penubuhan jawatankuasa tersebut. Ia kerana Jawatankuasa Bebas ini akan mengesyorkan kepada Yang di-Pertuan Agong jika pelaksanaan darurat dapat ditamatkan lebih awal.

Dan perlu diingat dalam perutusan khasnya hari ini, Muhyiddin menegaskan, ‘’Justeru saya memberikan komitmen tegas sebaik sahaja jawatankuasa khas bebas memperakukan wabak telah tamat, reda dan pulih sepenuhnya dan PRU selamat diadakan, ketika itu terpulang kepada saudara saudari untuk memilih kerajaan mana yang layak mentadbir negara dan menjaga kebajikan rakyat. Inilah komitmen dan akujanji saya yang akan saya tunaikan.Insha-Allah.’’

Oleh itu ahli-ahli politik tidak perlulah gelabah atau merasa kecewa dengan pengisytiharan darurat jika benar mereka berjuang demi rakyat, sebaliknya mereka boleh menyalurkan ‘kebijaksanaan’ dan tenaga mereka untuk bersama kerajaan memerangi Covid-19, apabila sudah bersama, turunlah ke gelanggang pilihan raya dengan tenang.

Tidak perlu membuang masa dengan mempersoalkan motif Muhyiddin atau menganggap Perdana Menteri sudah kalah dan tidak ada lagi majoriti apabila memohon darurat.
Mahu tidak mahu, mereka perlu menerima pengisytiharan darurat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong demi kesejahteraarakyat dan negara.

Semoga dalam tempoh sehingga Ogos ini arena politik negara akan tenang seketika dan rakyat tidak perlu lagi menyaksikan adegan politik yang memualkan kerana mereka sudah letih dan bosan ketika sedang bergelut dengan ancaman pandemik Covid-19.

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk tidak terlepas berita terkini dan artikel menarik