KUALA LUMPUR –Ibu kepada pengacara Neelofa, Datin Noor Kartini Noor Mohamed tampil memohon maaf susulan tindakannya yang dikatakan telah mendaftar nama produk makanan Harimau Menangis di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) seperti yang tular di Twitter, semalam.
Noor Kartini menerusi syarikatnya Noor Khan Enterprise, memberitahu permohonan tersebut bukanlah merujuk kepada nama ‘Harimau Menangis’ sebaliknya ia bertujuan untuk melindungi rekaan yang ditulis pada perkataan tersebut.
“Pihak kami ingin memaklumkan bahawa permohonan tersebut adalah bersifat untuk melindungi penggayaan, susun atur grafik, kod warna dan tulisan perkataan Harimau Menangis pada bungkusan produk.
“Ini adalah bertujuan untuk mengelakkan sebarang produk tiruan dalam pasaran yang boleh menyebabkan masalah kepada jenama pihak kami dan pengguna di luar sana,” katanya dalam satu kenyataan.

ARTIKEL BERKAITAN: Baru mohon, MyIPO nafi Harimau Menangis hak eksklusif ibu Neelofa
Tular di laman sosial Twitter apabila seorang pengguna akaun itu mendedahkan tangkap layar borang permohonan Noor Kartini di MyIPO dan ia menjadi pendebatan warga siber yang ‘panas’ dengan isu terbabit.
Malah, lebih mengeruhkan lagi keadaan apabila Noor Kartini memuat naik video di Instagram Story dengan mengatakan daging harimau menangis itu telah dipatenkan.
“Letaklah harimau beranak ke, harimau kentut ke tapi bukan Harimau Menangis,” kata Noor Kartini di dalam video terbabit.

Enggan kontroversi tersebut berlarutan, syarikat Noor Kartini turut menjelaskan jika pihaknya tidak menghalang mana-mana penjual yang ingin berniaga produk sama.
“Pihak kami tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk menjual produk yang sama selagi ia tidak menyerupai bungkusan produk yang pihak kami pasarkan.
“Selain itu, pihak kami sentiasan mengamalkan polisi persaingan perniagaan yang sihat. Pihak kami memohon maaf atas kesilapan kata-kata yang digunakan dalam kandungan video yang tular di media sosial pada malam 12 Januari 2021,” katanya.
Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.


Comments are closed.