Setelah reda di beberapa negeri, banjir di Sarawak pula semakin buruk dengan lebih 4,000 mangsa dipindahkan pagi tadi./ Gambar FB RTM Sarawak,

KUALA LUMPUR – Sebanyak 12 bank menyahut gesaan membabitkan pemberian bantuan dalam bentuk moratorium serta berkaitan banjir bagi membantu mangsa bencana terbabit.

Kejadian banjir itu menjejaskan negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Perak, Sabah dan terbaru di Sarawak.

Susulan itu, lapor Bernama, sejak Isnin lalu institusi kewangan seperti Affin Bank Bhd, RHB Bank Bhd; Public Bank Bhd; Malayan Bank Bhd; Bank Simpanan Nasional Bhd; Bank Muamalat Malaysia Bhd; CIMB Bank Bhd; Bank Islam Malaysia Bhd; Alliance Bank Malaysia Bhd; Hong Leong Bank Bhd; SME Bank Bhd dan OCBC Bank Bhd menawarkan bantuan bagi pelanggan masing-masing.

Ini termasuk kelonggaran pembayaran balik pinjaman/pembiayaan atau moratorium sehingga enam bulan, selain membenarkan penangguhan ansuran pinjaman dan pengecualian caj bayaran lewat.

Dalam pada itu, pengisytiharan darurat bagi membendung penularan COVID-19 pada Selasa lalu turut mendorong Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Hutang Kredit, Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Persatuan Insurans Hayat Malaysia, turut tampil menawarkan bantuan.

PIAM misalnya memberi jaminan kepada mangsa banjir yang mempunyai perlindungan insurans banjir bahawa ahli-ahlinya bersedia untuk mempercepatkan proses tuntutan dan bayaran kerugian akibat bencana tersebut.