KUALA LUMPUR – Kemelut politik dalam UMNO boleh dianggap semakin meruncing apabila kelompok yang bertelagah mula melakukan ‘serangan’ lebih terbuka.
Selain desakan supaya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ‘berehat’ dilakukan melalui kenyataan media, kini asakan oleh kumpulan yang tidak menyebelahi Ahli Parlimen Bagan Datuk itu beralih ke dalam media sosial.
Terbaru, hari ini tular melalui aplikasi WhatApps ’30 Dalil Mengapa Zahid Perlu Letak Jawatan Sebagai Presiden UMNO’. Ia mengandungi hujah yang didakwa membuktikan bekas Timbalan Perdana Menteri itu tidak layak terus menerajui UMNO.

Antara hujah yang diberikan ialah beliau mempunyai 87 pertuduhan di mahkamah, didakwa menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP, didakwa tidak menghormati Muafakat Nasional serta kerjasama dalam Perikatan dan banyak lagi dalil yang didakwa kesalahan Ahmad Zahid.
Ketika desakan ke atas Presiden UMNO itu hangat diperkatakan, keretakan dalam kalangan pemimpin UMNO semakin tidak terkawal apabila Tan Sri Annuar Musa yang dipecat dari jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) mendedahkan tindakan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen parti itu memohon persetujuan untuk mengadakan sidang Parlimen pada tarikh segera.
Annuar melalui akaun Twitternya berkata, ‘’SUA UMNO menulis surat kepada MP dan memberi masa kurang 24 jam untuk menyatakan persetujuan menggesa YDP Agong memanggil sidang Parlimen, kononnya di bawah Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan. Elok SUA UMNO itu rujuk constitutional expert supaya kelihatan lebih cerdik hal undang-undang”.
Ahli Parlimen Ketereh itu menggesa supaya Ahmad Maslan menarik balik surat tersebut sambil menegaskan, beliau sama sekali tidak bersetuju dengan tindakan yang tidak berperlembagaan serta bercanggah dengan dasar dan keputusan Majlis Tertinggi parti berkenaan.
Perkara itu dinyatakan dalam surat kepada Ahmad Maslan kerana Annuar menganggap surat Ahli Parlimen Pontian itu adalah satu kesilapan besar dalam mentafsirkan perkara berkaitan Perlembagaan Persekutuan.
“Perkara 150 (3) yang dirujuk, bermaksud untuk mengesahkan apa-apa undang-udang yang dibuat secara pengistiharan (promulgation) semasa darurat, iaitu undang-undang/ordinan yang dibuat tanpa persidangan Parlimen.
“Ia bermaksud perlu dibentang setelah darurat tamat, tetapi bukan dipanggil untuk bincang keabsahan proklamasi darurat yang telah diisytihar mengikut Perlembagaan oleh Yang di-Pertuan Agong.

”YB Dato Sri seharusnya faham, setelah proklamasi di buat di bawah perkara 150 PerlembagaanPersekutuan, parlimen tidak lagi bersidang. Parliamen hanya boleh bersidang selepas tamat tempoh darurat (1hb Ogos 2021),” tegas dalam surat tersebut.
Desakan untuk Ahmad Zahid berehat dan tersebarnya surat oleh Ahmad Maslan serta jawapan balas oleh Annuar diakui oleh sumber dalaman parti itu bahawa UMNO semakin berantakan.
‘’Memang dah nak porak peranda dah, pemimpin-pemimpin sudah berbalah secara terbuka. Ahmad Zahid seolah-olah tak boleh kawal keadaan dalam UMNO sebab tu ada desakan minta dia berehat.
”Surat Ahmad Maslan pula tak bawa apa-apa maknanya kerana khabarnya majoriti ahli Parlimen UMNO pun tidak menyebelahi Ahmad Zahid.
‘’Tidak mungkin mereka akan melayan surat Ahmad Maslan kerana surat itu seolah-olah tergesa-gesa, hantar Isnin, nak jawapan hari Selasa. Ni bukan hal kecil, ni soal besar…kena fikir betul-betul sebelum buat keputusan. Lagipun biarlah pembangkang sahaja yang buat, kenapa UMNO pun nak ikut,’’ kata sumber tersebut.

