MALAM tadi, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan melalui semua akaun media sosialnya menafikan beliau telah dipilih sebulat suara sebagai calon Perdana Menteri untuk Muafakat Nasional (MN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Kata Tok Mat,’’Sila ambil maklum. Ini adalah berita palsu. Berita palsu ‘lebih cepat’ tersebar berbanding virus Covid-19. Berhat-hatilah.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu bukanlah seorang yang ‘syok sendiri’ atau ‘berkepak’ apabila nama disebut-sebut akan menduduki jawatan tertinggi, Tok Mat berpijak di bumi nyata, kalau benda tak betul, kata tak betul, kalau betul katakan betul.
Walaupun Tok Mat menyifatkan apa yang disebarkan sebagai berita palsu tetapi membaca komen-komen netizen dalam Facebook beliau contohnya, hampir semua ‘sependapat’ apa salahnya kalaupun betul. Hingga ada netizen yang menulis ‘Kalaupun tak betul, saya sokong Datuk’.
Seorang lagi netizen berkata,’’ Kalau botul (betul) pn (pun) apo salah ea (nya) Tok..Buang jo (saja) yg dh lamo tu.Bg peluang plk pado (pada) muko (muka) baru yg bersih dan amanah.’’
Namun begitu Tok Mat berhati-hati, beliau tidak mahu teruja tak tentu pasal, apatah lagi ketika ini, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi sedang berhadapan dengan desakan untuk ‘berehat’ daripada jawatan Presiden UMNO bagi membolehkan orang lain mengemudi parti itu masuk ke gelanggang PRU-15.

Biarpun ada usaha untuk memperkecilkan Tok Mat dengan mengatakan beliau tidak sesuai disebabkan hanya bertugas di peringkat negeri, namun ADUN Rantau tersebut dilihat mempunyai karisma dan keupayaan untuk menjadi pemimpin penting di peringkat pusat.
Sebab itulah, majoriti netizen bersetuju dan menyokong kalau Tok Mat betul-betul dipilih sebagai calon Perdana Menteri kepada MN. Mereka berharap berita palsu itu betul.
‘’Walaupun palsu, tapi itulah harapan kami…anak muda mahu pemimpin yang bersih terajui parti dan negara,’’ komen seorang netizen.
Seorang lagi netizen menulis, ‘’ ’Walaupun tak kongsi tapi ramai marhaen harap betul. DSU (Datuk Seri Utama) jaga diri kerana harapan marhaen DS (Datuk Seri) jadi pemimpin utama dan terkanan adalah tinggi.’’
Sememangnya dalam kalangan anak muda mereka melihat Tok Mat calon paling layak daripada UMNO untuk mengemudi parti dan kerajaan. Selain itu bukan sahaja mereka, malah dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO pun mengakui Ahmad Zahid ‘sudah tercedera’.
Bagaimanapun Tok Mat tidak mahu berita palsu itu bertebaran sehingga menjejaskan keharmonian dalam UMNO. Lagipun Tok Mat merasakan perkara itu harus dinafikan atau diperbetulkan sebelum ia mewujudkan pelbagai persepsi.
Tepat sekali tindakan Tok Mat. Sebagai pemimpin kanan dalam parti, beliau tidak harus membiarkan sesuatu berita tidak betul terus disebarkan. Sikap ini kita tidak lihat dalam isu mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri
Apapun bagi orang ramai tidak ada cacat celanya kalaupun betul Tok Mat menjadi calon Perdana Menteri kepada Muafakat Nasional, cuma ‘berita palsu diharapkan betul itu’ dianggap terlalu awal disebarkan. Tambahan pula UMNO tidak sepatutnya menjadi seperti pemimpin pembangkang terus bercakap soal jawatan Perdana Menteri dan jumlah sokongan ahli Parlimen ketika Covid-19 semakin ‘menggila’.
Pada masa sama, penyebaran berita seumpama itu sudah pasti boleh mencetuskan suasana tidak selesa dalam UMNO kerana Ahmad Zahid masih lagi Presiden parti itu, biarpun dikatakan beliau memberitahu rakan-rakannya hanya mahu menjadi Menteri Agama.

