Buat PKP salah, tak buat PKP salah. Tak dibantu, marah. Dibantu, kata tak cukup. Hello… merungut itu tandanya…

0
27

Setiap hari ada sahaja perkara yang dirungutkan. Itu tidak boleh, ini pun tidak boleh. Yang ini tidak cukup, itu pun tidak cukup. Buat, salah! Tidak buat juga dianggap salah. Pendek kata ada sahaja yang tidak memuaskan hati. Terhambur segala rungutan, keluhan dan sungutan.

Mungkin ada yang merungut kerana melihat sesuatu yang tidak kena di hadapan mata, bahkan ada pula yang merungut semata-mata untuk merungut tanpa sebab yang jelas.

Sedar atau tidak, keghairahan untuk merungut dan mengeluh itu adakalanya menjadikan seseorang hilang pertimbangan dan emosi. Ia sentiasa melihat sesuatu isu atau perkara hanya daripada perspektif dirinya sahaja. Bak kata orang sekarang “meroyan tidak tentu pasal”.

Ini wabak yang sedang membarah dalam kehidupan masyarakat kita saat ini.  Bukan hanya di alam realiti malahan lebih galak lagi di alam maya. Media sosiallah yang kerap menjadi tempat lambakan segala macam jenis rungutan mereka, yang secara langsung menjadi cermin membiaskan wajah sebenar masyarakat kita hari ini.

Buat PKP salah. Tidak buat PKP pun salah. Sudah diberi bantuan dikatanya tidak cukup. Terlalu sedikit. Tidak dibantu, dijajanya kedekut. Diberi kelonggaran untuk bergerak atau bekerja sehingga jam sekian-sekian pun masih merungut. Yang nyata aktiviti merungut ini seakan sudah sebati dalam diri. Celik mata, bangun tidur ada sahaja yang dirungutkan. Ada sahaja benda buruk yang kelihatan. Ibaratnya mereka ini punya mata lalat setiap saat melihat benda busuk dan buruk.  

Hilang sifat qanaah   

Ironinya merungut merupakan manifestasi kemarahan dan ketidakpuasan hati terhadap sesuatu perkara, terutama yang melibatkan qada dan qadar Allah S.W.T. Ada banyak sebab yang membuatkan seseorang merungut. Ia boleh berlaku samada di dalam ruang lingkup kehidupannya, atau kerana melihat sesuatu yang tidak memuaskan hati.

Namun yang pasti mereka yang sering merungut ini sebenarnya sedang menderita penyakit hati yang kronik kerana melihat sesuatu itu dari sudut pandang yang negatif. Hatinya tidak ada ketenangan. Apa sahaja yang dilihat dan dilalui tidak cukup untuk memberikan rasa bahagia dalam sanubarinya. Jiwa dan hati tidak diisi dengan pemahaman nikmat kesyukuran. Jadi perkara-perkara itu menjadi barah yang kian menular

Realitinya syariat Islam melihat mereka yang kerap merungut adalah mereka yang tidak mempunyai sifat-sifat qanaah dalam diri, iaitu tidak merasa cukup dengan apa yang ada.

Apabila dalam hati tiada sifat qanaah, maka lahirlah insan-insan yang tidak bersyukur dengan segala nikmat pemberian Allah s.w.t.

Sedang hakikat yang nyata, intipati Islam mengajar untuk memperoleh kebahagiaan dan ketenangan hidup hanyalah melalui sifat qanaah iaitu merasa cukup dengan apa yang ada. Orang yang hatinya subur dengan sifat qanaah, walaupun secara logik akalnya merasakan dia serba kekurangan, namun hakikat sebenar ia sudah cukup segalanya.

Jika mereka yang kerap merungut kerana ditimpa hidup yang susah dek kerana mungkin kos sara hidup yang tinggi, hidup kais pagi makan pagi, hayatilah intipati firman Allah dalam surah Hud ayat 6,

“Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allah lah yang memberi rezekinya dan Dia mengetahui tempat tinggalnya dan tempat penyimpanannya. Semua tertulis dalam kitab yang nyata (Luh Mahfuz).”   

Dan jika mereka merungut kerana sentiasa ditimpa musibah dan ujian maka hayati pula sabda Baginda s.a.w.

“Sungguh ajaib dalam urusan orang mukmin. Sesungguhnya setiap urusannya baginya ada kebaikan dan perkara ini tidak berlaku melainkan kepada orang mukmin. Sekiranya ia diberi dengan sesuatu yang menggembirakan lalu dia bersyukur maka kebaikan baginya. Dan sekiranya apabila ia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar maka kebaikan baginya.” – HR Muslim

Dalam soal ini sebagai umat yang memegang gelar sebagai Muslim, yang menyatakan keimanan kepada Allah, keyakinan kepada Islam dan kepercayaan kepada syariat Baginda s.a.w. mereka wajib berpegang teguh dengan firman Allah S.W.T. dan hadis Baginda s.a.w. yang disebutkan di atas.

Walaupun seringkali diuji dengan pelbagai ujian, cabaran dan perkara-perkara yang tidak memuaskan hati, namun yakinlah dengan kesabaran, ketakwaan serta reda dengan ketentuan Allah, sudah pasti mereka akan beroleh kebahagiaan mahupun kesenangan sebagaimana yang dijanjikan-Nya dalam surah al Baqarah ayat 155,

“Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar.”

Namun bukanlah mudah untuk meraih ganjaran yang besar dari Allah, kerana kunci utama bagi gedung kejayaan tidak lain adalah sabar. Dan sabar itu pula perlu diterjemahkan dengan hati yang ikhlas dengan tidak merungut, bersungut atau mengkritik setiap apa yang tidak memuaskan hatinya. Mudah kata, mereka perlu berlapang dada menerima segala ketentuan. Wallahu a’lam.