Kisah-kisah aneh semasa menginap di hotel memang selalu kita dengar. Apatah lagi jika hotel tersebut mempunyai sejarah silam yang berkaitan dengan pembunuhan. Di luar negara pun begitu juga. Ini antara 7 penginapan yang dikaitkan sebagai berhantu.

1.LA POSADA DE SANTA FE RESORT & SPA

Demi cinta dan kasih sayangnya, Abraham Staab membina sebuah rumah agam yang besar untuk isterinya, Julia Staab pada tahun 1882. Rumah yang terletak di Santa Fe di Mexico, Amerika itu dihias indah dan sering mendapat pujian tetamu yang berkunjung ke rumah mereka.

Di rumah itu juga, Julia melahirkan lapan orang anak. Namun, anak bongsu mereka meninggal dunia tidak lama selepas dilahirkan. Sejak itu, Julia mula mengalami kemurungan dan hanya terperap di dalam bilik. Pada tahun 1896, Julia meninggal di rumah tersebut ketika berusia 52 tahun. Sejak itu, roh Julia dikatakan sering kelihatan berlegar-legar dalam rumah agam tersebut.

Rumah itu kemudian dijadikan hotel mewah yang dinamakan ‘La Posada de Santa Fe Resort & Spa’. Manakala bilik yang dihuni Julia Staab pula dinomborkan sebagai ‘suite 100’.

Jelmaan Julia Staab sering dilihat pekerja hotel ataupun pengunjung yang menginap di situ. Tetamu yang tidur di bilik Julia Staab juga berkata sering mendengar bunyi air terpasang pada waktu malam.

Cuma, mereka berpendapat roh Julia Staab ialah roh yang baik dan tidak mengganggu. Malah, pekerja hotel yang sudah biasa dengan keadaan itu selalunya akan menyapa bila ternampak roh wanita itu.

2.LANGHAM HOTEL

Hotel di London ini dibina pada tahun 1863 dan mula dibuka pada Jun 1865. Hotel ini dikenali dengan reka bentuk tradisional Inggeris. Tetapi, ada kisah lain yang turut mempopularkan hotel ini. Ia berkaitan misteri bilik bernombor 333.

Bilik itu dikaitkan dengan beberapa kematian sejak hotel ini dibuka. Pernah seorang doktor yang berbulan madu bersama isterinya telah membunuh si isteri sebelum membunuh dirinya sendiri di bilik tersebut. Rohnya dikatakan kembali semula ke hotel itu dengan matanya yang hitam.

Bilik itu juga pernah dihuni oleh seorang kerabat raja Jerman yang kemudian membunuh diri dengan terjun daripada tingkat empat hotel itu beberapa hari sebelum meletusnya Perang Dunia 1. Rohnya juga sering dilihat berkeliaran.

Selain itu, roh lelaki yang wajahnya dipenuhi luka selalu muncul di lorong-lorong hotel tersebut. Roh lelaki yang dikatakan seorang pemotong daging itu sering kelihatan berjalan-jalan dengan stokingnya yang koyak.

3.CASTLE STUART HOTEL

Pada hari ini, Castle Stuart di Scotland merupakan sebuah hotel mewah yang terkenal untuk para pemain golf menginap. Asalnya, ia merupakan sebuah istana yang mula dibina pada tahun 1561 oleh James Stewart, golongan kerabat raja di Scotland. Namun pembinaannya hanya siap pada tahun 1625 ekoran pelbagai perselisihan dan pembunuhan yang berlaku dalam sejarah keluarga ini.

Istana ini bukan saja antara istana tertua, bahkan disebut sebagai tempat berhantu di Scotland. Diceritakan waris James Stuart pernah menawarkan ganjaran lumayan kepada sesiapa yang mampu membuktikan istana tersebut tidak berhantu dengan bermalam di situ.

Cabaran itu disambut empat lelaki yang terdiri daripada seorang menteri, petugas gereja, pembuat kasut dan lelaki biasa.

Malam pertama bermalam di istana itu, si menteri bermimpi seorang lelaki dengan wajah reput berdarah mendatangi biliknya dan duduk bersama-sama di sebelahnya. Pada malam kedua, petugas gereja yang sedang membaca kitab Bible pula didatangi bayangan lelaki berwajah reput dan berdarah itu. Akibatnya, petugas gereja itu jatuh sakit.

Malam ketiga, si pembuat kasut yang bermalam di sebuah bilik, pintu biliknya tiba-tiba terbuka dan masuk satu lembaga hitam tidak berkaki yang melompat ke arahnya. Pembuat kasut itu ditemui pengsan keesokan harinya.

Malam keempat, lelaki biasa pula bermalam di situ. Keesokannya, lelaki itu ditemui mati setelah jatuh dari menara istana tersebut.

Ada banyak lagi kisah menyeramkan di istana ini. Selain bunyi tapak kaki berjalan pada waktu tengah malam, suara jeritan dan tangisan yang mendayu-dayu, bayangan hantu tidak berkepala juga sering kelihatan di koridor.

4.CHELSEA HOTEL

Sewaktu bangunan hotel ini dibina antara tahun 1883 dan 1885, ia merupakan bangunan tertinggi di kawasan itu. Kini, ia menjadi antara hotel bersejarah di bandar New York. Pada awal pembinaannya, hotel ini menarik perhatian ramai pengunjung kerana memiliki 250 buah bilik.

Segalanya bermula apabila pemuisi terkenal England, Dylan Thomas, mati pada November 1953 semasa menginap di hotel tersebut akibat masalah pernafasan. Namun, roh Dylan tidak pernah meninggalkan hotel itu, apatah lagi bilik bernombor 206 yang didiaminya. Tetamu yang menginap di bilik itu sering diganggu roh Dylan.

Pada 12 Oktober 1978, berlaku lagi kematian. Mayat Nancy Spungen ditemui dalam bilik hotel dengan kesan tikaman di lantai bilik air. Sejak itu, roh Nancy juga sering muncul dan mengganggu tetamu yang menghuni bilik tempat dia dibunuh.

5.JAMAICA INN

Terletak di Cornwall, England, asalnya ia dibina sebagai rumah bimbingan pada tahun 1750. Sebahagian hotel ini dulu pernah menjadi sebuah bar. Diceritakan ada seorang lelaki yang bersendirian minum di bar ini sebelum keluar apabila mendengar namanya dipanggil. Dan itu adalah kali terakhir lelaki itu dilihat hidup. Kononnya selepas kejadian itu, roh lelaki itu sering datang ke bar kononnya untuk menghabiskan semula saki baki minumannya.

Sering juga kelihatan bayang hitam muncul di bilik tidur pada waktu malam. Suara orang berbual dalam bahasa yang tidak difahami juga sering kedengaran. Ada pengunjung pernah melihat bayangan lelaki berjalan menembusi dinding.

Hotel ini mula dikenali ramai apabila Daphne du Maurier, seorang penulis Inggeris menghasilkan novel terkenal dengan mengambil tempat ini sebagai lokasi penceritaan dalam penulisannya, sekali gus menggunakan nama Jamaica Inn sebagai judul novel tersebut.

6.SKIRRID INN

Terletak di Wales, United Kingdom dan merupakan antara pub tertua yang beroperasi sejak tahun 1100. Ia pernah dijadikan tempat hukuman gantung 180 orang lelaki pada abad ke-17.

Hari ini, pub ini masih berfungsi selain dijadikan rumah tumpangan. Alang kayu oak yang digunakan untuk hukuman gantung juga masih ada sehingga ke hari ini. Dikatakan rumah tumpangan ini mempunyai beberapa kategori hantu dan ada antara roh yang muncul dikatakan sudah berusia hampir 1,000 tahun.

Bunyi tapak kaki sering kedengaran daripada tingkat atas walaupun tiada sesiapa yang menghuninya. Pengunjung yang menginap di sini juga sering terjaga di tengah malam kerana leher mereka terasa sakit seakan dijerut dengan tali yang tidak kelihatan. Bunyi gelas pecah juga sering kedengaran di bahagian bar yang kosong.

7.THE MYRTLES PLANTATION HOTEL

Didirikan di atas tanah perkuburan lama di Louisiana, Amerika Syarikat pada tahun 1976, ia asalnya adalah sebuah rumah. Dikatakan berlaku lebih kurang 10 kematian di rumah ini.

Salah satunya tragedi yang menimpa pasangan Clark dan Sara Woodcruff yang mempunyai orang gaji bernama Chloe. Kononnya, Chloe tertangkap kerana mencuri dengar perbualan Clark. Sebagai hukuman, telinga Chloe dipotong.

Kerana marah, Chloe membalas dendam dengan mencampurkan racun ke dalam kek yang menyebabkan kematian Sara dan dua anak perempuannya selepas makan kek tersebut. Sebagai hukuman, Chloe digantung mati di rumah itu. Roh Chloe sering dilihat merayau-rayau.

Begitu juga roh Sara dan dua anak perempuannya yang sering muncul dalam sebuah cermin yang tergantung dalam rumah tersebut. Rumah agam ini dijadikan hotel dan sering dikunjungi oleh pengkaji paranormal.