TERLETAK di pergunungan Rocky di Alberta, Kanada, hotel Fairmont Banff Hot Springs merupakan sebuah hotel mewah yang dibina pada tahun 1888.

Kawasan hotel tersebut merupakan salah satu dari perhentian laluan kereta api Kanada Pasifik. Pemandangan persekitaran yang cantik menjadi tarikan utama pelancong untuk singgah ke tapak warisan dunia UNESCO ini.

Hotel Fairmont Banff Hot Springs Resort di Kanada .

Pada tahun 1926, hotel yang pada asalnya dibina menggunakan kayu itu telah hangus terbakar dalam satu kebakaran. Namun, sesuatu yang tidak dijangka telah berlaku. Khabarnya, sebuah bilik rahsia telah ditemui selepas tragedi itu.

Walaupun tiada nyawa yang terkorban, tetapi semenjak kebakaran itu berlaku, Hotel Fairmont mula menerima kunjungan ‘tetamu’ misteri.

Hotel ini telah dibina semula menyerupai seni bina Istana Scotland yang kemudiannya terkenal dengan julukan nama ‘Istana Gunung Rockies’. Semenjak pembukaannya semula, ramai pengunjung dan pekerja hotel mengadu pernah terserempak dengan beberapa ‘tetamu’ misteri.

Antaranya, ‘hantu’ seorang pelayan bar yang selalu menasihati pengunjung yang minum terlalu banyak supaya pulang ke bilik masing-masing. Mereka yang pernah terserempak dengannya mengatakan bahawa hantu pelayan bar ini sangat mesra dan sopan. Tetapi, apabila mereka datang untuk mencarinya keesokan hari, ternyata pelayan bar tersebut tidak wujud.

Hotel ini juga dihantui oleh jelmaan pengantin perempuan yang dikatakan mati pada hari perkahwinannya.

Diceritakan seorang pengantin perempuan yang memakai gaun panjang meleret sedang berjalan menaiki tangga untuk ke dewan. Tanpa sengaja, lilin yang dinyalakan di tepi tangga telah terjatuh ke atas gaunnya.

Panik dengan keadaan itu, dia tersadung lalu terjatuh daripada anak tangga tersebut dan mati akibat kecederaan di leher.

Selepas peristiwa itu, ramai pengunjung dan pekerja di hotel berkenaan sering terserempak dengan bayangan seorang wanita yang sedang menari bersendirian. Ada juga di antara pengunjung yang mendakwa selalu terlihat bayangan seorang wanita memakai gaun pengantin berlari menaiki tangga untuk ke dewan makan.

Kelibat pengantin wanita sering kelihatan menaiki tangga di hotel ini.

Hotel ini pernah ditutup beberapa tahun ekoran Perang Dunia Kedua yang meletus. Selepas dibuka semula, satu pembunuhan misteri telah berlaku dalam bilik bernombor 873 di tingkat lapan hotel ini.

Seorang lelaki telah membunuh isteri dan anaknya sebelum bertindak mencabut nyawanya sendiri. Motif pembunuhan tidak dapat dikenal pasti.

Ketika mayat mangsa dikeluarkan dari tempat kejadian, dua orang tukang cuci telah diarahkan untuk membersihkan bilik tersebut. Salah seorang daripada mereka menemui kesan tapak tangan pada cermin yang dipercayai milik anak perempuan kepada pasangan itu.

Namun, sesuatu yang aneh telah berlaku apabila kesan tapak tangan yang berdarah itu akan muncul semula biarpun telah dibersihkan berkali-kali. Akhirnya, pihak pengurusan hotel memutuskan untuk menutup terus bilik berkenaan.

Semenjak peristiwa itu, ada pengunjung mendakwa melihat bayangan seorang wanita dan kanak-kanak berlegar-legar di sepanjang lorong di tingkat lapan. Kadangkala, mereka terdengar laungan anak kecil meminta tolong dan suara wanita menangis meratap di sepanjang aras tersebut.

Namun, kisah yang paling menjadi buah mulut pengunjung hotel sehingga ke hari ini ialah tentang legenda Sam Mc Cauley, si penjaga pintu. Sam adalah pekerja di Hotel Fairmont sebagai penjaga pintu masuk sebelum bersara pada tahun 1970-an.

Sam Mc Caukey (hadapan tengah). Dikatakan kelibatnya sering kelihatan di hotel ini.

Ketika hari terakhir perkhidmatannya, Sam memberitahu rakan-rakan yang dia akan ‘kembali’. Sam akhirnya meninggal dunia pada tahun 1975.

Tidak lama selepas itu, pengunjung sering terserempak dengan seorang lelaki yang memakai uniform lusuh. Dia sering membantu mengangkat bagasi dan juga membantu membuka pintu tetamu yang terkunci di luar bilik mereka. Apabila si tetamu ingin mengucapkan terima kasih dan memberikan tip, lelaki tadi hilang secara tiba-tiba.

Sehingga kini, suara misteri dan kelibat-kelibat aneh itu masih muncul di hotel tersebut. Namun, ia tidak mendatangkan ketakutan kepada pengunjung, sebaliknya ramai yang menganggapnya sebagai satu tarikan bagi hotel yang berusia lebih satu abad itu.

Walaupun banyak kisah misteri yang menyelubungi Hotel Fairmont, ia ternyata tidak menghalang orang-orang kenamaan untuk menginap di sini. Antara orang-orang terkenal yang pernah menginap di sini seperti Marilyn Monroe, King George IV dan juga Ratu Elizabeth.

Keindahan sekelilingnya sentiasa menarik pengunjung datang ke hotel ini.

________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare