Kes 12 individu LTTE: Muhyiddin bertegas dakwa, Dr.Mahathir kata sebaliknya – Tommy Thomas

Dari Penulis


KUALA LUMPUR – Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan bertegas mahu 12 individu yang dikaitkan dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelan (LTTE) didakwa, kata Tommy Thomas.

Ketika membuat dakwaan itu dalam memoirnya bekas Peguam Negara tersebut berkata,
Muhyiddin sebelum itu cuba menggunakan pengaruhnya – sebagai Menteri Dalam Negeri Kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan peruntukan Akta Kesalahan Keselamatan (Akta Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma tidak berperlembagaan semasa digunakan untuk menolak jaminan ke atas suspek terbabit.

Pengisytiharan itu membolehkan ADUN Gadek yang mewakili DAP, G Saminathan, mengemukakan permohonan ikat jamin.

Percaya hakim perlu menggunakan budi bicara untuk menentukan sama ada ikat jamin wajar diberikan atau tidak, Tommy berkata dia membuat keputusan agar Jabatan Peguam Negara tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah tinggi tersebut.

Bagaimanapun, kata Tommy, Muhyiddin yang kini Perdana Menteri berpendapat sebaliknya.

“Banyak tekanan diberikan kepada saya oleh Menteri Dalam Negeri (Muhyiddin) agar saya membuat rayuan. Bahkan Muhyiddin menulis surat kepada Perdana Menteri (Dr Mahathir Mohamad) meminta untuk ia diputuskan.

“Kabinet memutuskan bahawa ia adalah isu undang-undang dan harus diserahkan kepada saya seperti persoalan lain dalam undang-undang. Tetapi Kementerian Dalam Negeri marah kepada saya,” kata Tommy seperti dilaporkan oleh portal Malaysiakini.

Pendedahan itu adalah sebahagian daripada kandungan pengantar dalam memoir Thomas berjudul Justice In The Wilderness yang diterbitkan baru-baru ini.
Thomas merupakan Peguam Kanan yang dilantik menjadi Peguam Negara oleh Kerajaan PH selepas gabungan itu menguasai Putrajaya pada 2018.

Beliau bagaimanapun melepaskan jawatan itu selepas PH tumbang selepas Tun Dr.Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada penghujung Februari tahun lalu.

Menurut Tommy, pada 21 Februari tahun lalu beliau menggunakan kuasa perlembagaan yang ada padanya untuk tidak meneruskan pendakwaan ke atas 12 suspek LTTE itu apabila percaya pihak pendakwaan tidak mempunyai kes yang kuat untuk mensabitkan mereka.

Keputusan itu, kata Tommy, meletakkan dia dan Muhyiddin tidak sehaluan sekali lagi dan kumpulan-kumpulan pendesak kanan menyerangnya dengan hebat.

Sebelum mengeluarkan kenyataan memaklumkan keputusan tersebut, katanya, beliau memberikan taklimat kepada Dr. Mahathir bahawa tiada peluang realistik untuk mensabitkan mana-mana daripada suspek terbabit.

Beliau berkata, Dr.Mahathir berpuas hati dengan penjelasan berkenaan dan menyerahkan isu tersebut untuk diputuskan.

“Memiliki gambar (komunis) mereka dan tokoh lain dalam telefon genggam seseorang atau di akaun Facebook tidak menjadikan seseorang itu pengganas.

“Hanya kerana pemimpin terbabit menggunakan keganasan atau tindakan ganas untuk mencapai tujuan politik mereka tidak bermaksud penyokong terbabit harus dianggap pengganas atau sedang merancang tindakan pengganas,” kata Tommy.

Keputusan beliau menggugurkan tuduhan ke atas 12 individu itu dibuat beberapa hari sebelum Muhyiddin melakukan tindakan membawa Bersatu meninggalkan PH, sekali gus membawa kepada jatuhnya gabungan yang mendapat mandat rakyat pada 2018.

Tommy berkata, tanpa persefahaman berhubung isu LTTE, mustahil untuk mereka bekerjasama dalam kerajaan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

LRT3 nadi mobiliti dua juta penduduk koridor barat Lembah Klang

PERKHIDMATAN Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam sepanjang 37.8 kilometer memperkukuh jaringan rel di Petaling Jaya, Shah...

More Articles Like This