Apa perasaan anda jika ketika khusyuk mendengar khutbah semasa solat Jumaat, tabung kutipan masjid ditolak kepada anda? Mungkin bagi anda ia biasa sahaja, terserahlah sama ada mahu menyumbang atau tidak? Tetapi bagaimana jika tabung itu berbentuk seperti keranda?
Ketika itu anda mungkin akan teringat Firman Allah SWT dalam surah Al-Munafiqun ayat 10 yang bermaksud;
“…Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi daripada orang-orang yang soleh.”
Dan anda mungkin mengetahui bagaimana diceritakan bahawa apabila seseorang yang banyak dosa meninggal dunia dan amalannya tidak mencukupi untuk menyelamatkannya di akhirat kelak, dia merayu kepada Tuhan agar diberi masa dan dikembalikan semula ke dunia hanya untuk bersedekah.
Mungkin itulah peringatan yang mahu disampaikan oleh sebuah masjid di Indonesia yang mengedarkan tabung berbentuk keranda ketika solat Jumaat.
Klip video yang ditularkan melalui akaun instagram @lagi.dijalan dan berdurasi 8 saat menarik perhatian netizen.
Melalui klip video itu dapat dilihat bagaimana tabung tersebut tidak beroda sehingga bergeser di lantai bila ditolak.
Netizen berpendapat, ia merupakan satu cara untuk mengingatkan jemaah mengenai tabungan (simpanan) akhirat.
“Mengingatkan Tabungan akhirat,” tulis @muhammadrizkho21.
“Tabungan akhirat,” kata @kotosss_.
Netizen lain juga turut memberikan komennya.
“Cerdas (bijak)… Mungkin biar ingat kematian terus akhirnya bisa (boleh) mau BERINFAQ,” coret @alan_blits94.
“Supaya ingat bahawa yang dibawa mati hanya 3 perkara, salah satunya sodakoh jariyah (sedekah jariah),” pesan @evie_yuningsih.
Pendekatan masjid tersebut yang tidak dinyatakan terletak di daerah mana sememangnya baik apatah lagi kalau ia mampu mengingatkan orang kepentingan sedekah sebelum kita meninggal dunia.
Apapun, kalaulah tabung berbentuk keranda pun tak nak bersedekah juga, tak tahulah apa nak kata.

