Pergi Tampin baling batu,
Kena kubah masjid Jenera,
Bekas pemimpin perlu membantu,
Bukan menambah parahnya negara.
Memang mudah menonton surah,
Kalau disalin dibaca mula,
MB pun sudah PM pun sudah,
Bagi yang lain memimpin pula
Ini merupakan antara empat pantun yang penulis baca dalam satu akaun Facebook. Pantun ini ditujukan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sememangnya tidak dapat dinafikan, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan merupakan pemimpin UMNO paling popular biarpun tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti itu.
Populariti beliau khususnya pandangan dan kritikan yang dilontarkan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) jauh meninggalkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi malah beliau juga dilihat mengatasi populariti Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang.
Tetapi persoalannya, sampai bilakah UMNO mahu bergantung kepada Najib dalam usaha mereka meraih sokongan rakyat? UMNO hakikatnya tidak ketandusan pemimpin, ramai lagi sepatutnya diketengahkan bagi membuktikan parti itu tidak mengharapkan kepada Najib semata-mata.
Bagaimanapun berbanding dengan pemimpin-pemimpin lain mereka bagaikan tenggelam. Ahli-ahli UMNO seolah-olah ‘membutakan mata’ untuk memahami bahawa biarpun Najib mempunyai jasa kepada negara dan memiliki populariti yang luar biasa, tetapi beliau ada kes di mahkamah.
Hukuman sudahpun dijatuhkan dan beliau kini berada di peringkat mengemukakan rayuan. Dan masih ada kes sedang dalam perbicaraan.
Kita boleh sahaja mentafsirkan bahawa tuduhan atau beranggapan pendakwaan terhadap beliau bermotif politik, tetapi mahu tidak mahu, beliau sudah terpalit dalam kes yang bukan sahaja mendapat perhatian negara tetapi juga seluruh dunia.
Dalam keadaan itu sudah pastilah sedikit sebanyak imej beliau dari segi integriti dan kredibiliti sudah terjejas. Oleh itu, kenapa perlu UMNO masih mengharapkan Najib untuk memenangi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15)?
Tidak dapat dinafikan arus sokongan rakyat khususnya orang Melayu cenderung kepada UMNO ketika ini, tetapi ia tidak bermakna parti itu masih terus mahu mempertaruhkan Najib dalam PRU-15 nanti.
Perlu diingat, pengundi bukan sekadar berlegar dalam kalangan ahli-ahli UMNO atau penyokong mereka sahaja tetapi sama ada UMNO boleh menang atau tidak, dapat kembali berkuasa atau tidak, ia juga bergantung kepada pengundi tanpa parti atau atas pagar. Mereka inilah penentunya.
Justeru jika ahli-ahli UMNO masih belum sedar apabila terus merasakan Najib pemimpin sesuai dan tiada cacat cela untuk menjadi penentu kemenangan parti tersebut dalam PRU-15, ia adalah satu kesilapan.
Janganlah mengukur kemampuan Najib hanya berdasarkan kepada sikap produktifnya yang setiap hari ada sahaja isu yang dibangkitkan melalui media sosial, tetapi jujurlah bertanya kepada diri sendiri, wajarkah Najib terus diharapkan sedangkan beliau sudah ada ‘luka’ yang boleh menjejaskan peluang UMNO dalam pilihan raya umum nanti?
Ketika penulis berkesempatan berbual-bual dengan beberapa anak muda, mereka tidak menafikan menaruh harapan kepada UMNO dalam PRU nanti tetapi pada masa sama tanpa berdolak-dalik, mereka juga mahu melihat parti itu mengetengahkan pemimpin yang benar-benar bersih dan tidak terpalit apatah lagi didapati bersalah oleh mahkamah.
Integriti tetap menjadi keutamaan mereka dalam menentukan calon mana yang harus disokong atau diundi apabila pilihan raya diadakan.
Oleh itu, ahli-ahli UMNO khususnya perlu memahami sentimen ini dan menghadam bahawa kalau parti tersebut mahu menang, mereka perlu meletakkan calon yang bukan sahaja bersih tetapi juga harus dilihat bersih.
Tanpa menafikan segala jasa Najib, mereka juga perlu menerima hakikat dan belajar untuk memahami era bekas Perdana Menteri itu untuk kembali memimpin UMNO sudahpun berada di penghujungnya.
UMNO masih ada bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan. Dalam UMNO masih wujud individu seperti Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr.Asyraf Wajdi Dusuki dan ramai lagi pemimpin yang tidak ada apa-apa masalah atau dikaitkan dengan soal integriti. Justeru kenapakah ahli-ahli UMNO masih mahu bergantung kepada Najib?
Pada masa sama Najib juga harus jujur kepada diri sendiri. Sebagai pemimpin yang dilihat cukup sayangkan UMNO, Najib pasti memahami bahawa beliau sudah dilihat boleh mendatangkan masalah kepada UMNO dalam PRU.
Oleh itu, Najib perlu bersikap terbuka untuk mengakui bahawa beliau ‘ada masalah’. Soal sama ada apa yang dihadapi oleh beliau satu konspirasi atau pertuduhan bermotifkan politik, ia soal kedua.
Apa yang rakyat termasuk sebahagian ahli UMNO faham, beliau ada kes mahkamah yang sudah dijatuhkan hukuman yang kesudahannya boleh merencatkan peluang parti itu dalam pilihan raya umum akan datang.
Kesimpulannya, jangan sampai keterujaan dan sanjungan tidak bertempat ahli-ahli UMNO terhadap Najib akhirnya memberi masalah kepada parti itu.
Bak serangkap lagi pantun yang penulis baca;
Kayu selumbar di atas raga,
Dibuat asah kayu perkasa
Membuat onar menyusah semua
Lebih baik berserah pada yang esa.

