KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,455 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini dengan Selangor terus melaporkan penularan tertinggi.

Menurut media sosial Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Selangor yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) genap 21 hari lalu mencatatkan 1,145 kes.

Ini diikuti Johor dengan 708 kes, Kuala Lumpur (619 kes) dan Sabah, 276 kes.

Hari ini juga menyaksikan 21 lagi kes kematian dilaporkan yang merupakan tertinggi pernah direkodkan dalam tempoh 24 jam setakat ini.

Ketika ini, sebanyak 327 kes COVID-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 135 memerlukan bantuan pernafasan.

Jumlah kumulatif kes kematian melibatkan COVID-19 kini 791 kes, dengan kes yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula mencecah 327 dengan 145 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 21 kes kematian hari ini, 12 daripadanya dicatatkan di Selangor, empat kes di Sabah, masing-masing dua kes di Johor dan Kuala Lumpur dan satu kes di Kedah.

Menurutnya 3,661 kes sembuh dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan pulih kini 173,990 kes. 

Sementara itu, beliau berkata, tujuh kluster baharu dikesan dengan enam daripadanya merupakan kluster di tempat kerja dan satu melibatkan komuniti. 

Kluster tempat kerja iaitu Jalan Ragum dan Bukit Rahman di Selangor; Parit Jamil Darat (Johor); Tapak Bina Jalan Cheras (Kuala Lumpur), Taman Muhibbah (Pahang) dan Industri Serkam (Melaka), manakala  Semarak Bersia di Perak merupakan kluster komuniti. 

Dr Noor Hisham berkata jumlah kluster aktif kini sebanyak 404 dengan 70 daripadanya mencatatkan pertambahan kes baharu.

Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Tapak Bina Jalan Cheras (332 kes), Kluster Jalan Ragum (210 kes), dan Kluster Jalan Seroja (204 kes).