KOTA KINABALU: Polis tidak menghalang sebarang penganjuran aktiviti kebajikan anjuran sukarelawan termasuk misi bantuan yang dilakukan pendakwah bebas, Ebit Lew.
Bagaimanapun, kesemua sukarelawan itu digalakkan untuk merujuk dengan pihak berkuasa seperti polis dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) terlebih dahulu atas faktor keselamatan.
Astro Awani melaporkan, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali merujuk kepada kenyataan dikeluarkan Ebit Liew mendakwa dihalang daripada menjalankan misi bantuan di pantai timur Sabah.
“Polis atau Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) tidak pernah menghalang atau mengeluarkan sebarang arahan untuk menghentikan program Ustaz Ebit Lew di kawasan itu.
“Kita tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan atau tindakan untuk menghalang program yang dianjurkan oleh pihak sukarelawan seperti Ustaz Ebit Lew. Bagaimanapun, mereka digalakkan untuk merujuk dengan pihak berkuasa seperti polis dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) terlebih dahulu atas faktor keselamatan semata-mata,” kata beliau dalam satu kenyataan.
BACA JUGA :Ebit Lew sedih tidak dibenar ke pulau sekitar Semporna
Menurut Hazani, polis mengalu-alukan kerjasama mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) untuk menganjurkan program amal kebajikan bagi membantu golongan yang memerlukan.
“Ada juga kenyataan yang ditularkan di media sosial mengaitkan Perintah Berkurung dikuatkuasakan meliputi perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.
”Perintah berkenaan dikeluarkan adalah bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah.
“Ia tidak kena-mengena dengan program yang dianjurkan sukarelawan atau pihak NGO di mana-mana kawasan di negeri ini. Cuma kita minta beliau rujuk dengan pihak berwajib adalah bagi mengenal pasti status pulau dan penduduk terbabit,” katanya.

