KUALA LUMPUR – Selepas dua tahun, single Sinar Mata Hati yang pernah menjadi lagu runut bunyi drama Suri Katriana, akhirnya secara rasmi akan dilancarkan pada esok hari.

Ernie,29, yang juga finalis Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL 35) berkata, dia berasa seronok kerana lagu terbaharunya itu dapat diperdengarkan kepada umum.

Lagu hasil ciptaan Halen Yap dan lirik oleh Roslen Fadzil itu didatangkan dengan video lirik yang boleh ditonton di saluran Youtube Universal Music Malaysia.

“Lagu ini adalah projek yang agak lama juga. Apabila dengar ia dapat dilancarkan secara rasmi kepada peminat, saya berasa sangat gembira kerama mereka menantikan lagu ini menjadi single saya.

“Apa yang boleh dikatakan, ini masa terbaik lagu Sinar Mata Hati dilancarkan. Harapan saya bukan saja ia diterima baik, tapi menjadi bualan, siulan dan dendangan pendengar yang sentiasa menantikan lagu saya. Alhamdulillah, lagu ini sudah menjadi senarai lagu saya juga.

“Buat masa sekarang lagu ini hadir dengan video lirik dahulu. Video muzik belum ada perancangan nak buat bila. Ditambah pula sekarang masih tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tapi saya percaya akan dapat buat juga nanti. Insya-Allah, akan datang,” katanya.

ERNIE Zakri lega Sinar Mata Hati akan dilancarkan pada esok hari

Sementara itu, bercakap mengenai lagu Sinar Mata Hati, menurut Ernie dia tertarik pada bahagian korus lagu yang dianggap sangat bermakna dalam kehidupan semua orang.

“Single ini ialah lagu tema drama lakonan saya iaitu Suri Katriana pada 2019. Ini adalah drama pertama lakonan saya dan membawakan watak Suri. Ketika berlakon menjadi Suri, ia digambarkan sebagai seorang gadis lemah lembut.

“Sama seperti dalam drama, lirik lagu ini juga menceritakan bagaimana ia penuh dengan dendam. Dia tahu dirinya salah, tapi tetap berdendam. Begitu juga dalam lirik lagu ini. Saya tertarik dengan korus, walaupun dia melakukan kesalahan tapi dia minta maaf. Cuma hatinya penuh dendam. Ini sedikit sebanyak mengenai lagu ini. Paling menarik saya berlakon dalam cerita ini dan menyanyikan sendiri lagu tema,” ulasnya.

Sinar Mata Hati kini sudah tersedia di semua pelantar digital seperti Spotify, Apple Music, JOOX, KKBOX, Deezer dan YouTube Music dan lirik video akan ditayangkan pada pukul 9 malam di Youtube.

ERNIE tunggu dua tahun single terbaharunya diperdengarkan secara rasmi kepada peminat

Berkongsi mengenai perjalanan dan proses menghasilkan lagu berkenaan Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri yang juga pemenang Vokal Terbaik pada AJL 32 berkata, lagu itu mencabar dari segi penghayatan dan emosi.

Malah, Ernie yang pertama kali bekerjasama dengan Halen dan Roslen mengakui bertuah kerana dapat menyanyikan lagu ciptaan mereka.

“Bagi proses menghasilkan lagu tersebut boleh diberikan kredit kepada komposer dan penulis lirik. Dalam masa sama, perjalanan rakaman lagu pula amat mudah sebab mendapat kerjasama baik daripada mereka.

“Saya pernah berkerjasama dengan Halen, tapi bukan dalam studio. Dia sering menjadi pengarah muzik untuk program yang saya sertai. Dengan Abang Slen pula ini kerjasama pertama kami. Proses rakaman lagu juga cukup mudah apatah lagi ketika itu saya juga sibuk menjalani penggambaran drama Suri Katriana dan dalam masa sama kena merakamkan lagu ini.

“Apa boleh dikatakan, ia pengalaman sangat berharga. Lagu ini agak mencabar. Walaupun tidak bernada tinggi atau memerlukan teknik vokal yang susah, tapi lebih kepada emosi yang agak berat. Bagi saya itu satu cabaran juga,” ujarnya.