Ismail Sabri Yaakob/ Gambar FB MKN

KUALA LUMPUR – Kerajaan membenarkan operasi pasar malam, kedai gunting rambut dan pusat cuci kereta mulai esok dengan prosedur operasi ketat (SOP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara ini dipersetujui selepas melihat tidak ada kluster baru daripada ketiga-tiga aktiviti perniagaan ini.

Menurut beliau, sehubungan itu Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini bersetuju membenarkan rayuan ketiga-tiga sektor berkenaan.

“Untuk pasar malam kita benarkan dari jam 4 ptang hingga 10 malam dengan SOP ketat. Antaranya jarak antara gerai, ada laluan keluar masuk dan pengawasan dari Rela supaya ada penjarakan fizikal.

“Begitu juga salun dan kedai gunting rambut. SOP juga ketat dengan hanya perkhidmatan gunting sahaja dibenarkan, yang berkaitan kecantikan tidak dibenarkan.

“Petugas mesti pakai pelitup muka dan lebih baik ada face shield. Apron yang digunakan adalah berdasarkan konsep pakai buang, satu pelanggan satu apron. sarung tangan juga.

“Pusat cuci kereta juga dibenar dibuka sehingga jam 10 malam,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Baca artikel berkaitan: Merosot dan terus merosot, peniaga tepi jalan rayu kerajaan benarkan pasar malam

Sementara itu, pada masa sama Ismail Sabri mengingatkan kerajaan akan menutup mana-mana premis atau tapak pasar malam yang tidak patuh SOP selain adanya laporan kes COVID-19.

“Ini bukan kepada tiga aktiviti perniagaan sahaja tetapi kepada semua. Sektor yang dibenar sebelum ini pun sama.

“Macam tapak pembinaan, kilang begitu juga. Ada kes atau tidak patuh SOP sahaja kita akan tutup,” jelasnya.

Dalam sidang akhbar sama, Ismail Sabri turut membentangkap SOP perayaan Tahun Baharu Cina yang bakal disambut tidak lama lagi.

Secara umum kata beliau, SOP adalah seperti mana sambutan perayaan lain iaitu acara hanya boleh dilakukan di rumah dengan majlis makan malam besar juga terhad kepada mereka yang berada di dalam rumah sahaja.

“Upacara sembahyang di tokong juga dihadkan kepada jawatankuasa tokong sahaja,” ujarnya.

Mengenai jumlah yang diambil tindakan semalam akibat tidak mematuhi SOP, Ismail Sabri berkata, seramai 731 orang ditahan dengan 19 daripadanya direman.