KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melakukan pembayaran kedua kepada penerima skim pengeluaran i-Sinar Kategori 1 (K1) bermula hari ni yang melibatkan 2.5 juta ahli yang telah diluluskan permohonan mereka sebelum ini.

Pemohon-pemohon skim pengeluaran wang tabungan KWSP ahli di Akaun 1 tersebut sebelum ini telah menerima pembayaran pertama mereka pada 5 Januari lalu.

Para penerima mula berkongsi mengenai berita tersebut dengan rakan-rakan mereka di media sosial seperti Facebook (FB), Twitter, WhatsApp dan sebagainya bagi melahirkan kegembiraan dan kesyukuran.

Pengguna Facebook, Syahdan Mahidin berkongsi status tersebut di laman peribadinya dan juga kumpulan FB i Lestari KWSP: ” Alhamdulillah.. bayaran ke-2 i-sinar kategori 1 (K1) dah masuk.

“Mohon semua sahabat-sahabat yg memohon K1 untuk doakan sahabat-sahabat kita yang memohon Kategori 2 (K2) supaya LULUS SEMUA. Kalau boleh, kita nak semua sama-sama dapat ISINAR.”

BERITA BERKAITAN Hanya satu peratus permohonan i-Sinar KWSP tidak diluluskan

Ahli-ahli KWSP yang mendapat kelulusan daripada permohonan i-Sinar Kategori 1 merupakan mereka yang mendapat kelulusan automatik kerana menepati kelayakan yang ditetapkan oleh KWSP seperti kehilangan pendapatan atau kekurangan pendapatan sebanyak 30 peratus.

Ahli-ahli untuk kategori ini tidak perlu mengemukakan sebarang dokumen ketika permohonan dilakukan kerana KWSP hanya melakukan perbandingan pendapatan melalui pemeriksaan di dalam rekod caruman KWSP setiap ahli.

Manakala, pemohon i-Sinar untuk Kategori 2 (yang tidak lulus secara automatik) pula perlu mengemukan dokumen-dokumen sokongan bagi membuktikan mereka kehilangan pendapatan atau kekurangan pendapatan sehingga 30 peratus berikutan COVID-19 yang melanda.

Kumpulan pemohon dijangka mengetahui mengenai status permohonan mereka bulan ini dan maklumat lanjut boleh didapati di isinar.kwsp.gov.my. – UtusanTV