KUALA LUMPUR — Selepas dikritik hebat, kerajaan membayangkan kelonggaran peraturan kuarantin dari 10 hari kepada tiga hari yang ketika ini hanya diberikan untuk menteri, mungkin akan diluaskan kepada ahli perniagaan atau orang awam pada masa akan datang.
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata, kebenaran yang bertujuan untuk membuka ekonomi negara itu diberikan kepada pemimpin atau menteri terlebih dahulu kerana kaedah pelaksanaannya lebih mudah dilakukan.
“Kita buat pada menteri dulu sebab menteri senang buat perintah sebelum kita buka kepada orang lain. Seperti ahli perniagaan (misalnya),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Ketika ini, kelonggaran itu hanya untuk anggota kabinet yang mengikuti ‘jadual program yang ketat’ ketika berada di luar negara atas urusan rasmi.
Dr Adham berkata, orang kenamaan asing dan peniaga juga akan dikenakan jadual perjalanan yang ketat sekiranya mereka akan dibenarkan untuk mendapat kelonggaran kuarantin seumpamanya dan bagi orang awam, ia bergantung apakah peraturan itu dipatuhi sepenuhnya.
Jelas Adham, tempoh kuarantin 10 hari telah menjadi penghalang kepada para pelabur, dan juga orang kenamaan asing yang ingin datang ke Malaysia.
“Sebab kerajaan melakukan ini adalah untuk memastikan kita dapat membuka ekonomi kita.
“Biasanya kita meminta ujian calitan tiga hari sebelum berlepas ditambah tujuh hari kuarantin di negara kita. Jadi itu adalah 3 + 7.
“Jika mereka tidak melakukan ujian calitan sebelum berlepas, mereka harus menjalani ujian calitan dan didapati negatif di pintu masuk antarabangsa dan kuarantin selama 10 hari.
“Itulah sebabnya pelabur tidak datang, pemimpin asing tidak berkunjung … dan kerana itu pelaburan itu tidak masuk,” katanya kepada portal berita itu.
Beliau berkata, pada tahun lalu semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) 1.0, negara kehilangan RM2.4 bilion sehari dan kerugian RM600 juta sehari ketika PKP 2.0.
Sementara itu, Adham juga membuat perbandingan dengan Indonesia, yang tidak mengenakan kuarantin terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika melakukan perjalanan ke negara jiran itu minggu lalu.
“Mengapa Indonesia, meski mencatat begitu banyak jangkitan, masih tidak kuarantin Muhyiddin? Ini kerana mereka ingin membuka ekonomi,” katanya.
Pengkritik sebelum ini membidas kelonggaran kuarantin itu, dengan mengatakan virus Covid-19 tidak membezakan antara menteri atau rakyat biasa.
Tempoh kuarantin 10 hari adalah berdasarkan data klinikal, yang menurut Adham adalah sahih. – UtusanTV

