Seorang pengarah agensi kerajaan di Selangor yang ditahan semalam kerana disyaki mencabul kakitangannya telah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, suspek berusia 35 tahun itu dibebaskan selepas siasatan selesai dilakukan.
“Laporan polis dibuat oleh mangsa Jumaat lalu pada kira-kira pukul 10.30 pagi dan suspek ditahan semalam.
“Hari ini lelaki itu diberi jaminan polis setelah selesai tindakan oleh pegawai penyiasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.
“Polis kini sedang menyiapkan kertas siasatan dan akan dirujuk kepada pihak timbalan pendakwa raya bagi tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Baca artikel berkaitan: Pengarah agensi kerajaan ditahan cabul kakitangan di pejabat
Semalam media melaporkan suspek ditahan polis selepas dipanggil bagi membantu siasatan berhubung laporan polis berkenaan di Balai Polis Daerah Klang Selatan.
Berdasarkan laporan Harian Metro, lelaki berusia 35 tahun itu dipanggil bagi membantu siasatan sebelum ditahan jam 9 pagi.
Kejadian dipercayai berlaku jam 2 pagi Selasa lalu ketika mangsa berusia 29 tahun berada di pejabat selepas selesai urusan kerja sebelum suspek bertindak mengamuk.
Sumber berkata, suspek turut dipercayai meminta mangsa membuka tudung dan memicit tangannya atas alasan ia adalah arahan rasmi.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram.

