RAMAI orang kurang upaya (OKU) yang mempunyai bakat menghasilkan pelbagai barangan kraftangan seperti tikar, rotan dan sebagainya tetapi keterbatasan mereka untuk bergerak dan menimba ilmu menyukarkan barangan tersebut dipasarkan dengan sewajarnya.
Sehubungan itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merancang untuk membangunkan platform dalam talian sendiri golongan terebut untuk mempamer dan memasarkan produk kraftangan mereka.
Menterinya Datuk Seri Rina Harun berkata platform itu yang bakal dibangunkan kementerian itu bertujuan menyediakan platform alternatif untuk golongan OKU bagi menjana pendapatan mereka serta dapat memperkenalkan produk mereka secara individu.
BERITA BERKAITAN [VIDEO] “Ya saya OKU, tapi OKU saya adalah Orang Kuat Usaha” – Mohd Norsayful Othman | Permata Usahawan ep.2
“Kami dalam peringkat perancangan pembangunan platform dan sementara ia dijayakan, kami juga merancang untuk bertemu peniaga e-dagang sedia ada dan berbincang dengan mereka mengenai platform ini.
Saya yakin ramai golongan ini yang akan mendapat manfaat daripada platform ini kerana mereka memiliki bakat luar biasa yang boleh digarap menjadi punca pendapatan,” katanya kepada media semasa melawat rumah perlindungan golongan kurang upaya di Taman Sinar Harapan Ziyad Zolkefli, di Kuala Lumpur hari ini.
Menteri itu berkata perincian mengenai platform itu akan diumumkan kemudian.
Mengulas mengenai insiden yang tular di media sosial baru-baru ini mengenai seorang wanita diganggu secara seksual oleh seorang anggota polis ketika berhenti di sekatan jalan raya, Rina berkata undang-undang khusus berkaitan gangguan seksual sedang dirangka.
Beliau juga menasihatkan golongan wanita yang berdepan dengan gangguan seksual agar tidak takut untuk meminta bantuan.
Selain menghubungi saluran Talian Kasih kementerian, beliau juga menggesa mangsa agar mengambil langkah sewajarnya seperti merakam kejadian itu sama ada suara atau video serta sentiasa membawa alat perlindungan diri seperti penyembur lada. – Agensi
Ikuti pelbagai berita dan artikel terkini di Facebook, Twitter dan Instragram UtusanTV.com.

