Zaman muda wanita ini mungkin tidak sebaik wanita lain. Memori kehidupan wanita ini menyimpan tragedi pahit yang menjadi mimpi ngerinya selama puluhan tahun.
Wanita ini bernama Margot Wolk. Dia lahir pada tahun 1917 di Wilmersdorf, sebuah penempatan di tengah kota Berlin. Pada usia remaja, dia berkahwin dengan seorang askar dan bekerja sebagai setiausaha di kota tersebut.

Apabila perang dunia ke-2 meletus, ia turut memberi tempias dalam hidup Margot. Sewaktu musim gugur tahun 1941, rumah keluarganya telah dibom dalam peperangan dan meragut nyawa kedua orang tuanya.
Suaminya, Karl, terlibat dalam peperangan dan tidak pernah muncul kembali. Pada anggapan Margot, suaminya telah terkorban di medan perang.
Kemelut peperangan menjadikan Margot tinggal sebatang kara di kota Berlin. Lalu dia pergi ke rumah ibu mertuanya di perkampungan Gross-Partsch di Poland. Sangkanya, dia boleh hidup aman di situ.
Lebih kurang tiga kilometer dari rumah mertuanya, terletak ibu pejabat militan tentera Nazi. Di situlah juga pusat pentadbiran Adolf Hitler.
Belum pun lama tinggal di situ, Margot bersama 14 gadis muda yang lainnya telah dipilih untuk dibawa ke berek di pusat pentadbiran diktator itu.

Kerja para gadis ini kedengaran mudah. Hanya untuk menjamah makanan yang telah dimasak sebelum ia dihidangkan kepada Hitler. Kerana terlalu paranoid akan diracuni oleh musuh, diktator Jerman itu mengarahkan 15 gadis tersebut untuk lebih dahulu merasai makanan yang akan dihidangkan kepadanya.
Zaman perang ketika itu menyukarkan penduduk mendapat makanan. Pada dasarnya, Margot dilihat bertuah kerana dapat menjamah makanan mewah yang enak dan lazat. Hakikatnya, Margot tidak mampu menikmati makanan tersebut kerana asyik terfikir, mungkin ia akan jadi santapan terakhir mereka hari itu jika makanan itu beracun. Bahkan, dia selalu akan menangis lega apabila masih bernafas selepas merasa makanan Hitler.
Walaupun lebih dua tahun menjadi tukang rasa makanan, namun belum pernah sekali pun Margot dapat melihat Hitler.
Selamat Dari Dibunuh Tetapi…
Pada tahun 1944, tentera Soviet sedang mara untuk menyerang markas Hitler. Salah seorang leftenan di situ telah membawa Margot dan menyuruhnya menaiki kereta api menuju ke Berlin.
Tidak lama selepas serangan tersebut, Margot mendapat berita kesemua 14 gadis lain yang bertugas bersamanya di markas itu telah dibunuh tentera Soviet. Hanya dia seorang yang terselamat.
Walaupun begitu, nasib Margot kurang baik. Tentera Soviet menemuinya di Berlin. Dia dikurung. Waktu itu, bermula episod hitam yang lebih tragis dalam hidupnya. Selama dua minggu, setiap hari dia dirogol kejam berulang kali hingga mendatangkan kecederaan.
“Kesan tragedi itu, saya tidak mampu hamil,” cerita Margot.
Dia akhirnya dilepaskan, namun membawa beban menyimpan tragedi hitam itu. Tahun 1946, Margot bertemu semula dengan suaminya yang disangka telah terkorban. Rupa-rupanya sebelum itu Karl telah ditangkap oleh pihak lawan dan dipenjarakan.
Walaupun hidup bahagia semula bersama suaminya sehinggalah Karl menghembuskan nafas terakhir pada tahun 1980, Margot tidak pernah menceritakan tragedi yang dilaluinya. Baik kepada suami, teman-teman atau sesiapa saja.

Dia terus menyimpannya sendiri sehinggalah pada Disember 2012, ketika ulang tahun kelahirannya yang ke 95. Kepada seorang wartawan akhbar Berliner Zeitung yang mengunjunginya waktu itu, Margot akhirnya membuka rahsia yang dipendamnya selama ini. Sejarah silam yang selama ini menghimpit dadanya. Kisah silam itu menghantui tidurnya setiap malam.

“Saya cuba hilangkan ingatan hitam itu selama berpuluh tahun. Tapi, saya tidak mampu. Ia mengganggu tidur saya setiap malam. Hanya dengan menceritakan rahsia ini mungkin mampu meringankan beban yang menghimpit perasaan selama ini,” katanya yang hidup sendiri setelah kematian suaminya.
Dua tahun selepas membuka kisah hitam itu, Margot meninggal dunia pada tahun 2014.
_________________________
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram.

