SELEBRITI Hollywood, Paris Hilton akhirnya telah mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihan hatinya, Carter Reum.
Berita gembira itu diumumkan sendiri oleh pelantun lagu Stars Are Blind sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-40 pada Rabu lalu.

“Semasa kami berjalan untuk makan malam di sepanjang pantai, Carter membawa ke sebuah cabana yang dihiasi bunga dan berlutut. Saya berkata ya, ya untuk selamanya. Tiada yang lebih baik untuk saya habiskan masa bersama selama-lamanya,” katanya seperti yang dikongsikan di akaun Instagramnya.
Paris bertunang dengan Carter yang merupakan seorang ahli perniagaan pada 13 Februari lalu. Majlis yang diadakan di sebuah pantai peribadi itu turut diraikan bersama keluarga rapat kedua-dua belah pihak.

Memetik laporan Daily Mail, Paris turut menerima sebentuk cincin berlian putih 20 karat yang direka khas oleh Jean Dousset, cucu kepada pemilik barangan kemas mewah, Louis Cartier. Dianggarkan cincin yang tersarung indah di jari manisnya itu berharga sekitar RM8.2 juta (US$2 juta).

Sebelum ini Paris pernah bertunang dengan teman baiknya, Chris Zylka pada November 2018, namun hubungan tersebut terkandas di tengah jalan.