Ajar kelas percuma di FB Live: Cikgu Fadli tak kejar publisiti

Dari Penulis

Oleh ZAID ADNAN

KONTROVERSI pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) yang bermula 20 Januari lalu membuka lembaran baharu buat Cikgu Matematik Viral, Mohd Fadli Salleh atau lebih mesra disapa sebagai Cikgu Fadli.

Melihat banyak rungutan ibu bapa di media sosial, Cikgu Fadli memutuskan mengadakan sesi video secara langsung bersama pengikutnya meminta pandangan tentang hari pertama PdPR.

Namun tanpa disangka Cikgu Fadli, beberapa pengikutnya memintanya mengadakan kelas Facebook (FB) Live dan komen itu pula mendapat sokongan ramai sehingga tenaga pengajar Sekolah Kebangsaan (SK) 1 Gombak menolak cadangan itu kerana segan selain merasa agak sibuk.

Walau bagaimanapun, siapa sangka Cikgu Fadli akhirnya mempertimbangkan semula cadangan itu selepas percaya cabaran itu mungkin menjadi punca beliau membantu lebih ramai orang.

Dan pada 26 Januari atau minggu kedua pelaksanaan PdPR, kelas matematik percuma secara FB Live Cikgu Fadli mula bersiaran di akaun Facebook rasmi miliknya dan berjaya mendapat sambutan yang baik sehingga disukai kanak-kanak.

“Alhamdulillah kelas saya mendapat sambutan yang sangat besar dan ia sangat membantu murid dan ibu bapa.

“Pada awalnya saya nak buat sekali sahaja namun mereka kata teruskan dan saya bersetuju untuk meneruskannya,” kata bapa kepada lima orang anak itu kepada UtusanTV.

BERITA BERKAITAN Kembalikan emosi pelajar semasa PdPR – Cikgu Fadli

Cikgu Fadlli ditemubual bersama UTUSANTV ketika ditemui di Gombak, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

CATAT REKOD TONTONAN 20,000 PELAYAR

Mengulas lanjut mengenai kelas FB Live kelolaannya, Cikgu Fadli berkata, kelas matematik itu diadakan pada setiap Selasa dan Rabu bermula pukul 8.30 malam hingga pukul 10 malam.

Kelas pada hari Selasa khusus untuk murid tahun satu, dua dan tiga manakala Rabu khusus untuk murid tahun empat, lima dan enam dengan tempoh 30 minit diperuntukkan bagi setiap kelas dan sejak kebelakangan ini kelas itu dianjak sehingga dua jam ekoran sambutan menggalakkan murid.

Kata anak jati Pasir Puteh, Kelantan itu, beliau terkejut dengan reaksi murid yang mengikuti kelas FB Live kelolaannya selepas melihat perkongsian gambar dan video diberi ibu bapa mereka.

“Saya terkejut reaksi murid sebab benda live (siaran langsung) ini kita tak nampak murid,saya cuba bayangkan reaksi mereka. Itu part (bahagian) yang paling susah, part itu yang saya kena percaya OK aku berada di depan mereka dan mereka perlu respon dalam video dari rumah.

“Dan Alhamdulillah, saya berjaya dapat skill (kemahiran) itu, parent (ibu bapa) ambil video dan gambar pada ruangan komen, beratus video mereka tengah beraksi di rumah seolah-olah anak mereka dalam kelas, Alhamdulillah.

“Malah selepas tiga minggu bersiaran, saya mendapati kelas FB Live ini pernah diikuti 20,000 penonton betul-betul pada waktu puncak,” katanya.

BERITA BERKAITAN Kelas online Matematik dan Matematik Tambahan percuma calon SPM – saranan Cikgu Fadli

KELAS FB LIVE TETAP DITERUSKAN

Ditanya mengenai nasib kelasnya sekiranya kerajaan memutuskan membuka sesi persekolahan seperti sediakala, Cikgu Fadli menjelaskan beliau akan tetap meneruskan sesi kelas percuma itu kerana rasa seronok dan menikmati pengajaran kelas secara dalam talian itu.

“Bila kita enjoy (nikmati) kerja yang kita buat, kita akan teruskan.Kita tak buat bukan sebab dipaksa,bukan sebab disuruh kerana KPI ke apa,kita buat kerana seronok,” katanya.

Selain itu kata Cikgu Fadli, beliau tetap mahu meneruskan kelas itu sebab sambutannya, yang ditonton rakan Facebook dari Belgium, United Kingdom, Amerika Syarikat (AS) dan Arab Saudi.

Katanya, beliau percaya kelas FB Live itu diikuti rakannya yang ingin lihat
cara pengajaran dan pembelajaran di Malaysia kerana mungkin anak mereka tak pernah laluinya selain mereka mahu melihat reaksi anak mereka jika belajar dengan guru dari Malaysia.

“Walaupun jumlah pelayar mungkin makin turun.Saya tidak kisah kerana kita tak kejar yang itu, kita kejar yang betul-betul seronok dengan kelas kita, mereka yang nak ambik input dan maklumat, insyaAllah kita akan teruskan mungkin sampai akhir tahun,” katanya.

Cikgu Fadlli mengadakan kelas Matematik percuma secara FB Live di akaun Facebook beliau. GAMBAR: Facebook Mohd Fadli Salleh

JANGAN BANDINGKAN SAYA DENGAN GURU LAIN

Semasa ditanya jika kelas FB Live anjurannya pernah dibandingkan dengan guru lain oleh pengikutnya di media sosial, Cikgu Fadli mengakui perkara itu berlaku.

Katanya, ingin ditegaskan kepada ibu bapa bahawa apa yang beliau sampaikan adalah daripada pengalamannya dan cara mendekati murid itu yang menjadikan cara pendekatan setiap guru berbeza kerana mereka akan ada kekurangan dan ada kelebihan.

“Jadi perbandingan tak boleh dilakukan kerana ia boleh melukakan hati cikgu, keduanya anak kita akan pandang guru-guru mereka kurang berkualiti, kurang berprestasi sekali gus ia akan pengaruhi psikologi mereka.

“Jadi tak baguslah,bila anak dah buat tetapan semacam itu, jadi tak bagus lah.Sedangkan (waktu mereka) dengan saya ini sekali sekala tetapi dengan cikgu mereka hari-hari, jadi mana boleh.Jadi mak ayah kena beritahu lah jangan buat perbandingan,” katanya.

Mengulas lanjut kata Cikgu Fadli, setakat ini rakan-rakan guru tiada yang bersikap negatif dengan kelas FB Live yang dianjurkannya.

Sebaliknya kata beliau, ramai guru meminta tips dari beliau untuk bermula dengan kelas FB Live itu kerana ada di antara mereka yang segan dan tidak tahu mengatasi masalah berkenaan.

“Mereka bertanya tips untuk meniru, untuk meniru balik apa yang mereka boleh kongsi juga.. Alhamdulillah tiada kawan-kawan guru yang negatif,” katanya.

Pada soalan UtusanTV yang ingin tahu adakah Cikgu Fadli mengejar publisiti dengan mengadakan kelas FB Live itu, beliau menegaskan:”Bukan”.

CABARAN SEORANG PEMPENGARUH SOSIAL

Cikgu Fadli memberitahu, sebagai seorang pempengaruh media sosial, mereka tidak dapat lari daripada tohmahan, fitnah, dengki dan cacian daripada orang lain.

Namun jika beliau berhenti selepas berdepan dengan rintangan itu, Cikgu Fadli menjelaskan bahawa beliau tidak akan sampai ke tahap yang dikecapinya kini.

“Saya tak akan berkembang sebagaimana hari ini dan saya tak akan dapat bagi manfaat pada lebih ramai orang dengan berkongsi lebih banyak tips pendidikan dan tak boleh pergi sampai sejauh ini.

“Jadi perkara ini saya sudah biasa dan sudah lali. Jadi abaikan benda negatif dan anggap apa yang dibuat adalah untuk manfaat lebih ramai,” katanya. – UtusanTV

Cikgu Fadlli mengadakan kelas Matematik percuma secara FB Live di akaun Facebook beliau, baru-baru ini. GAMBAR: Facebook Mohd Fadli Salleh

Ikuti pelbagai berita dan artikel terkini di FacebookTwitter dan Instragram UtusanTV.com


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Harga diesel turun 30 sen seliter minggu ini

HARGA diesel di Semenanjung diturunkan 30 sen seliter bagi tempoh 18 Jun hingga 24 Jun ini. Kementerian Kewangan dalam kenyataan...

More Articles Like This