Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir hari ini mengumumkan keluar daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN).
Alasan yang diberi beliau ialah parti pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal masih mengutamakan politik berbanding kesejahteraan rakyat.
Hasan A Gani yang kini seorang ADUN Bebas turut mengumumkan menyokong kerajaan negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Beliau juga pada masa sama menyatakan sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor.
“Saya melihat perkara yang diperlukan oleh negara pada hari ini adalah kestabilan politik. Kestabilan ini penting untuk memastikan kerajaan dapat memberikan sepenuh perhatian dalam menangani COVID-19 dan menjaga kesejahteraan rakyat.
“Saya amat dukacita melihat pendirian WARISAN yang dilihat masih bermain dengan rentak politik Pakatan Harapan (PH) yang mengutamakan kepentingan politik berbanding kesejahteraan rakyat yang terbeban dengan isu COVID-19.” katanya dalam temu bual eksklusif dengan BERNAMA hari ini.
Susulan tindakan Hassan A Gani menyokong GRS, gabungan itu yang dianggotai parti komponen Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah kini memiliki sokongan 48 ADUN daripada keseluruhan 79 ADUN negeri tersebut.
Hassan A Gani yang merupakan Setiausaha Bahagian WARISAN Kalabakan berkata, antara punca yang amat mengecewakan dirinya ialah tindakan WARISAN menolak Belanjawan 2021 di Parlimen yang menurut beliau jelas membelakangkan kepentingan rakyat terutama dalam usaha menangani COVID-19.
“Segala usaha dibuat kerajaan menangani COVID-19 memerlukan peruntukan melalui bajet yang dibentangkan… cukup-cukup sudah bermain politik, masa ini kesejahteraan rakyat perlu diutamakan,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Nak lihat Muhyiddin ‘terguling’, orang lain pula akan ‘tergolek’
Beliau berkata, tindakan kepemimpinan WARISAN yang membelakangkan pemimpin dan ahli akar umbi termasuk ADUN parti itu terutama dalam usaha menyuarakan kepentingan rakyat juga menyebabkan beliau mengambil keputusan meninggalkan parti berkenaan.
“Saya juga membuat keputusan keluar daripada arti (WARISAN) demi membantu rakyat di kawasan yang saya wakili. Saya akan lebih senang membantu rakyat apabila menjadi ADUN Bebas yang menyokong kerajaan GRS,” katanya.
Hassan A Gani berkata, beliau membuat keputusan itu tanpa desakan mana-mana pihak dan percaya kerajaan negeri ditadbir GRS kini dapat membantu rakyat Sabah terutama penduduk di kawasan yang diwakilinya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram.

