Qabil dan Habil : Tiga sifat yang menghancurkan manusia

0
40

“Kehancuran manusia adalah pada tiga perkara:

1. Sifat takabbur.

2. Sifat tamak.

 3. Sifat dengki.

Ada pun sifat takabur, ia menghancurkan agama dan kerananyalah iblis dilaknat oleh Allah. Sifat tamak pula, adalah musuh kepada diri sendiri dan kerananyalah Nabi Adam dikeluarkan dari syurga. Manakala sifat dengki adalah kepala kepada kejahatan dan kerananyalah Qabil telah sanggup membunuh Habil.”

Demikian kata-kata hikmah dan himpunan nasihat Hassan bin Ali r.a. yang terakam di dalam sejarah ketinggian ilmu dan budinya. (Kitab ‘Allimu auladakum hubba aali baiti al nabi. m.s 30)

Ketiga-tiga sifat mazmumah inilah yang menjadi punca awal maksiat sang makhluk kepada Tuhannya. Sebelumnya tiada satu pun makhluk yang berani mengingkari perintah dan larangan Tuhan yang Maha Agung. Bermula dengan keangkuhan dan kesombongan iblis yang enggan sujud kepada Adam a.s. menjadikan iblis yang mulanya makhluk yang paling taat telah ingkar dan kufur terhadap Allah, lalu iblis dilaknat oleh Allah S.W.T.

Kemudian moyang kita pula dilalaikan oleh pujukan dan tipu daya iblis daripada mengingati pesanan Tuhannya untuk tidak mendekati ‘pokok sambung nyawa’ di dalam syurga. Akibat terdorong oleh sikap tamak, Nabi Adam telah melanggar perintah Tuhan dengan memakan buah daripada pokok larangan tersebut, lalu baginda dihukum dengan dikeluarkan dari syurga di sebalik taubatnya yang diterima Allah.

Sifat dengki pula membawa kepada perlakuan jenayah pertama yang berlaku di muka bumi dilakukan oleh Qabil yang tergamak membunuh saudara kandungnya. Sifat dengki Qabil telah membutakan hatinya daripada mendengar nasihat saudaranya itu.

Ketiga-tiga sifat buruk inilah yang akhirnya menghancurkan umat manusia selepas daripada itu. Walaupun telah diperingatkan oleh Sayidina Hassan r.a., namun manusia gagal mengambil iktibar daripada cerita-cerita awal kejadian manusia itu, gagal mengesan keburukan sifat-sifat tersebut di dalam tubuh mereka serta gagal menghindari dan mengubatinya.

  1. Takabbur

Takabbur adalah lawan kepada sifat tawaduk. Ia bermaksud perbuatan membesar diri dan membangga-banggakan keadaan dirinya, hingga membawa kepada memandang rendah terhadap orang lain. Inilah sifat paling buruk kerana daripadanyalah timbul sifat-sifat buruk lain. Sifat takabbur hanya layak untuk Allah dan menjadi milik-Nya semata-mata.

Sifat takabbur mudah dikesan kerana wujud tanda-tanda yang zahir, antaranya; suka menunjuk-nunjuk dan menonjolkan diri di khalayak ramai. Suka mengetuai majlis keramaian dan berlagak semasa berjalan, tidak suka kata-katanya ditolak sekalipun salah, bahkan enggan menerima teguran dan memandang rendah terhadap orang yang lemah dan miskin. Selain itu, antara tanda-tanda takabbur lagi adalah suka meninggi diri, berbangga dengan keturunan dan suka menunjuk-nunjuk kelebihan yang dimiliki.

  1. Tamak

Sifat tamak pula adalah keinginan yang melampau untuk menikmati harta dan kedudukan.

Tamak terhadap harta ada dua:

Pertama, terlalu inginkan harta dan bersungguh-sungguh memperolehinya melalui jalan yang harus dan dibenarkan. Ini tetap tercela kerana betapa banyak masa dihabiskan untuk memburu harta sedangkan masa itu lebih bernilai. Masa itu sepatutnya dihabiskan untuk memburu takwa dan taat kepada Allah berbanding harta yang telah ditetapkan oleh Allah untuknya.

Kedua, ketamakan terhadap harta sehingga mendorongnya melampaui had yang dibenarkan syarak. Ia memasuki jalan-jalan haram tanpa menghiraukan kemurkaan Allah. Inilah penyakit asy-syuhh (terlalu bakhil) yang diingatkan Allahdi dalam al-Quran agar dijauhi.

Sabda Rasulullah s.a.w.: “Berhati-hatilah kamu daripada sifat asy-syuhh. Sesungguhnya asy-syuhh itu telah menghancurkan orang sebelum kamu. Ia menyuruh kepada putus hubungan, lalu mereka memutuskannya. Ia menyuruh kepada kebakhilan, lalu mereka menjadi bakhil. Ia menyuruh kepada kejahatan, lalu mereka melakukan kejahatan.”(Hadis riwayat Abi Daud. Albani mensahihkannya.)

Tamak kepada kedudukan pula adalah lebih buruk daripada tamak kepada harta. Ia juga terbahagi kepada dua:

Pertama, tamak kepada kedudukan melalui kuasa dan harta. Ini cukup bahaya kerana akan menghalang daripada kebaikan akhirat dan kemuliaannya. Orang yang menggilai kekuasaan tidak akan dibantu dan diberi petunjuk oleh Allah kecuali mereka yang menerimanya tanpa meminta.

Kedua, tamak kepada kedudukan melalui perkara-perkara agama seperti ilmu, amal, kezuhudan dan sebagainya. Inilah seburuk-buruk ketamakan. Agama adalah untuk memburu dan mengejar redha Allah dan kedudukan di sisi-Nya, tetapi mereka ini telah menyalahgunakannya untuk keduniaan.

  1. Dengki

Manakala sifat dengki pula adalah lawan sifat suka dan mengimpikan kebaikan untuk orang lain. Dengki menjadikan tuannya terlalu mengimpikan sesuatu nikmat itu hilang daripada orang lain. Ia adalah penyakit yang sangat buruk, hina dan menghancurkan segala kebaikan. Hasad dengki terjadi akibat beberapa perkara; permusuhan, kebencian, ujub, cintakan kedudukan, busuk hati dan lain-lain yang bersangkut dengan penyakit hati. Ia terlalu buruk dan menakutkan kerana boleh berlaku kepada sesiapa saja sama ada pada diri sendiri, keluarga, kawan-kawan dan sebagainya.

Semoga Allah melindungi diri kita daripada akhlak-akhlak yang buruk dan terhina ini. Bersama-samalah kita menghiasi diri dengan sifat-sifat takwa.