Siapa yang kami kejar di KLIA malam itu?

0
96

Oleh : Noraini Junaidi

https://www.facebook.com/annjunaidi

Balai KLIA pada tahun 1999 bukanlah seperti sekarang. Sibuknya bermusim, waktu selepas pukul 12 tengah malam pula sunyi dan sepi. Kaunter aduan awam hanya ada 2 orang anggota untuk syif pukul 12 tengah malam hingga 8 pagi.

Kebetulan malam itu malam Jumaat saya bertugas dengan penyelia saya, Kpl. Marzukhi Harun (bersara sebagai S.I). Lebih kurang pukul  2 pagi setelah selesai membuat laporan 24 jam, saya bermain game kegemaran di komputer. Game solitaire. Zaman itu tiada pilihan bossku!!! Hadap aje lah game tu sampai muntah. Manakala penyelia saya menelangkupkan kepala di meja, mungkin tidak tahan mengantuk.

Ketika saya leka bermain game, tiba-tiba Ketua Polis Balai (OCS) masuk ke kaunter. Sambil berjalan dia mengetuk meja tempat penyelia saya sedang tidur. Saya  yang terkejut dengan kedatangannya hanya sempat berdiri dan tidak sempat memberi tabik hormat. Kpl. Marzukhi pula bingkas bangun, tapi OCS berjalan dengan pantas menuju ke pejabatnya di tingkat atas.

“OCS ke tu?” Kpl. Marzukhi yang masih mamai bertanya pada saya.

“Ya, incas, OCS tiba-tiba masuk. Saya pun tak sempat salut,” jawab saya yang masih lagi terkejut.

Kpl. Marzukhi bergegas mengambil topi dan terus berjalan untuk mendapatkan OCS. Selang tidak berapa lama kemudian Kpl. Marzukhi datang semula dengan wajah keliru.

“Ani, OCS takde dalam ofis dia lah. Betul ke dia datang tadi?”

“La, betul lah. Kan dia ketuk meja incas tadi.” Saya mula rasa tidak sedap hati.

“Abang dah tengok dalam ofis dia, takde orang pun!” katanya lagi.

“Dia keluar ikut pintu belakang kut, incas?” Saya masih yakin memang nampak dengan jelas OCS berjalan masuk.

“Pintu belakang berkunci, siap pasang mangga lagi. Anak kunci pun ada dalam kotak tu.”

“Yang incas pergi kejar OCS tu nak buat apa? Biar lah dia, nanti dia nak balik dia lalu lah depan kita,” saya cuba sedapkan hati sendiri.

“Abang kejar sebab nak minta maaf, abang tertidur. Tapi bila abang sampai ofis dia, langsung takde kesan pun.”

“Takpe lah, kita tunggu aje dia lalu kang.” Saya hanya mampu tersenyum.

Sepanjang malam itu kami berdua langsung tidak tidur. Kami menunggu kalau OCS keluar untuk balik ke rumah tapi sampai ke pagi tiada siapa pun yang keluar dari balai.

Ketika kami bersiap-siap untuk serah tugas paginya, OCS sampai ke balai lebih kurang 7.30 pagi. Selepas memberi tabik hormat, Kpl. Marzukhi terus bertanya kepada OCS..

“Maaf lah, tuan… malam tadi tuan ada masuk balai ke?”

“Malam tadi? Saya baru ni sampai ke balai dari petang semalam.”

Saya berpandangan dengan Kpl. Marzukhi. Habis tu siapa yang berjalan masuk dan mengetuk meja incas saya????

Sumber: https://www.facebook.com/annjunaidi

#kongsiceritakita