ANALISIS
‘’Maka mereka yang menjadikan konsep perpaduan umat Islam secara tidak sempurna wajib ditolak, kerana agenda mereka hanya untuk kepentingan diri sendiri atau keluarga bahkan hanya untuk puak atau kepartian sahaja.’’
Tidak pasti siapakah yang dirujuk atau dimaksudkan oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu tetapi apa yang jelas kerjasama tiga parti Melayu iaitu Pas, UMNO dan Bersatu kini berada di ambang perpecahan.
Bersatu dikatakan sudah memberi pilihan kepada UMNO sama ada mahu atau tidak bersama Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), UMNO pula kini lebih berat untuk meninggalkan kesepakatan yang dibentuk dalam kerjasama menubuhkan kerajaan pada tahun lalu manakala Pas berusaha agar kesepakatan tersebut tidak berpecah.
Tetapi nampaknya usaha itu mungkin sia-sia. UMNO kelihatan begitu tegas untuk menolak terus bekerjasama dengan Bersatu. UMNO begitu yakin mereka boleh berjuang sendirian dalam PRU-15 biarpun tanpa Pas.
Namun begitu dalam UMNO juga wujud kelompok yang tidak mahu UMNO berpecah dengan kesepakatan sekarang. Walaupun kenyataan itu dibuat atas semangat perpaduan Islam dan mengelakkan UMNO salah perhitungan namun kelompok ini dipandang sinis. Mereka dianggap “Kluster Menteri’ yang sayangkan kedudukan dalam kerajaan.
Pada masa sama, beberapa pemimpin UMNO juga ‘menyerang’ Pas dan mendesak parti itu membuat pilihan sama ada ingin bersama PN atau bekerjasama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN)
Desakan ini biarpun datang daripada beberapa pemimpin UMNO yang tidaklah sehebat mana (bertanding pilihan raya pun kalah) tetapi ia sudah cukup mewujudkan persepsi dan membantutkan usaha menyatukan tiga parti Melayu terbesar itu.
Tetapi persoalannya, UMNO tidak membuat kenyataan rasmi sama ada akan bersama atau tidak dengan Bersatu. Kalau setakat kenyataan seorang dua anggota Majlis Tertinggi melalui media itu bukan pendirian rasmi.
Entah betul atau tidak, khabarnya Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dikatakan mahu menyampaikan sendiri keputusan MT parti itu di Janda Baik, Pahang minggu lalu kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Setakat ini, belum ada berita mengenai perkara itu tetapi kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dua hari lalu menarik perhatian. Naib Presiden UMNO itu seolah-olah memberi isyarat kepada UMNO supaya berhati-hati dalam membuat keputusan politiknya.

‘’Dalam mencari kepercayaan rakyat, UMNO juga perlu belajar daripada kesilapan di mana kita tersilap membuat percaturan sehingga akhirnya tersungkur pada PRU-14 lalu. Tidak salah untuk kita akui kesilapan dan belajarlah daripada kesilapan ini agar kita dapat membina keutuhan parti,’’ kata beliau.
Dan beliau juga menegaskan, ‘’ UMNO harus terus memperkukuhkan parti dan memastikan tiada lagi perpecahan akan membuat bangsa Melayu itu lemah dan akhirnya peristiwa 22 bulan di bawah PH berulang.’’
Kenyataan Abdul Hadi dan Ismail Sabri boleh dianggap senada iaitu elak perpecahan sesama orang Melayu. Bak kata Ismail Sabri, ‘’Ingatlah lidi yang sebatang, terlalu mudah dipatahkan namun jika ia menjadi seberkas, ia menjadi kuat dan kukuh.’’
Inilah yang turut menjadi kebimbangan Pas sebab itu Abdul Hadi berkata, ‘Maka Pas yang melaksanakan agenda Islam wajib menolak sesiapa atau mana-mana pihak dan kumpulan yang menjejaskan kekuatan Islam dalam menerajui politik negara.’’
Sekali lagi kita tidak tahu siapa yang ‘dikiaskan’ oleh Presiden Pas itu tetapi apa yang pasti ‘kedegilan’ sesetengah pemimpin UMNO untuk terus menolak kerjasama dengan Bersatu atas alasan ia keputusan akar umbi akan mencampakkan mereka termasuk dalam golongan yang dimaksudkan oleh Abdul Hadi.
Setakat ini penulis tidak nampak ada penyelesaian antara UMNO dan Bersatu. Ia kerana kelompok yang menentang kerjasama dengan Bersatu dikatakan menguasai parti itu. Tetapi yang peliknya dulu masa hendak menubuhkan kerajaan tidak pula mereka ini menentang habis-habisan seperti mana sikap mereka sekarang.
Lebih aneh pemimpin yang dulu turut menyokong kerjasama tersebut hari ini seolah-olah mempunyai perasaan ‘membenci teramat sangat’ kepada Bersatu, kita tidak mahu membuat spekulasi kenapa mereka berubah begitu, biarpun ia mudah ditebak puncanya.
Soalnya adakah kenyataan Abdul Hadi ada kaitan dengan kelompok ini? Siapakah mereka? Kenapa mereka berbuat demikian? Apakah kerana kepentingan parti atau kepentingan peribadi?
Kalau demi keparti, rasanya tidak ada masalah kerana mereka hanya perlu berunding, berbincang dan mencari jalan menyelesaikan sebarang isu yang timbul tetapi kalau ia demi kepentingan peribadi susahlah sebab dengan ‘musuhpun’ mereka sanggup tunduk asalkan apa yang dihasratkan tercapai.
Apapun kiasan Abdul Hadi dan peringatan Ismail Sabri harus dijadikan iktibar oleh ketiga-tiga parti Melayu sama ada Pas, UMNO mahupun Bersatu supaya dalam ketiga-tiga parti ini tidak ada kelompok yang mahu menjalankan ‘kerja-kerja syaitan’. Semua orang tahu apa yang syaitan lakukan apabila umat Islam mahu bersatu.

