DI sebalik cabaran pandemik COVID-19, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen sebanyak 5.20 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 4.90 peratus untuk Simpanan Syariah.
Keseluruhan jumlah agihan dividen bagi tahun 2020 adalah sebanyak RM47.64 bilion.
Dividen KWSP bagi 2020 itu hanya sedikit rendah daripada yang diumumkan bagi 2019 iaitu 5.45 peratus (konvensional) dan 5 peratus (shariah).
Baca artikel berkaitan: Dividen KWSP 2020 tidak jauh berbeza dengan 2019?
Jumlah yang diagihkan itu masih lebih tinggi jika dibandingkan dengan dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) pada kadar 4.25 sen seunit seperti diumumkan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Disember lalu.
Ramai menantikan KWSP umum dividen 2020 kerana tahun lalu merupakan tempoh menabar buat ekonomi global susulan penularan COVID-19.
Menurut Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, KWSP berupaya mencatatkan prestasi yang memberangsangkan untuk tahun 2020 walaupun mengharungi situasi yang tidak terjangka iaitu pandemik COVID-19 dan dalam persekitaran unik yang menyaksikan dunia berhadapan dengan krisis berkembar iaitu krisis kesihatan dan ekonomi.
Beliau berkata, KWSP telah berjaya melindungi simpanan persaraan ahli dengan baik, di samping memenuhi keperluan mendesak untuk mereka menangani cabaran semasa.
Ada ketikanya, kata beliau, KWSP perlu mengambil keputusan yang sukar bagi memastikan ahlinya mampu bertahan dalam situasi semasa yang mencabar dan pada masa sama mengimbangi keperluan masa depan mereka.
“Penyebaran dan kebolehjangkitan COVID-19 yang pantas telah menyebabkan ia sukar dibendung dan dikawal. Namun, langkah proaktif kami dalam menangani kesan daripada wabak itu telah membantu kami untuk mengatasi pelbagai cabaran.
“Fokus ke arah digitalisasi telah membolehkan kami membantu ahli dengan lebih cekap dan lancar di samping memastikan KWSP tetap relevan dengan ahli yang kian celik teknologi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan, tindak balas pantas KWSP dalam mengadaptasi strategi dan proses pelaburan telah berjaya memastikannya mampu mencapai prestasi yang optimum.
Katanya, KWSP juga akan terus memanfaatkan kekuatan kira-kira 250 anggota pelabur profesional KWSP yang komited dan proaktif dalam menguruskan portfolio pelaburan.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

