Pakatan Harapan (PH) yang memerintah selama 22 bulan manakala Perikatan Nasional (PN) yang baru memasuki usia setahun menjadi kerajaan, gagal menarik sokongan pengundi dalam satu undian yang dilakukan UtusanTV.
Barisan Nasional (BN) yang kini menjadi sekutu PN meraih undi terbanyak, unggul di tempat teratas dengan 11,126 undi atau 33 peratus manakala Muafakat Nasional yang menggabungkan UMNO dan Pas di tempat kedua dengan memperoleh 28 peratus atau 9,237 undi.
PH yang kini dipimpin Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim meraih 6,207 undi atau 19 peratus daripada 33,4214 undi.
Perikatan Nasional (+Pas) dan BN menduduki tempat keempat dengan perolehan 4,799 undi atau 14 peratus manakala Perikatan Nasional (+Pas) di tangga kelima dengan 2,056 undi atau 6 peratus.
Undian itu dibuka sejak Rabu lalu dan berakhir hari ini. Kaji selidik dengan soalan Siapakah pilihan anda dalam PRU-15? itu mendapat 79,832 view.
Keputusan undian ini memberikan gambaran tentang sentimen umum terhadap parti politik atau gabungan parti politik yang ada sekarang. Kedudukan ini mungkin berubah pada masa depan berdasarkan senario politik semasa.
Dalam kaji selidik ini bagi memastikan ketelusan undian, pengunjung hanya boleh mengundi sekali sahaja untuk setiap alamat internet protokol (IP).
Semasa tempoh undian, pasukan web UtusanTV juga memantau dengan dekat bagi mengelakkan sebarang kemungkinan penggunaan robot. Pengundian menggunakan WP-Polls (Undian WordPress) – perisian yang dikenali sebagai mempunyai peraturan yang ketat.
Undian ini akan diteruskan bagi siri 2, hari ini dengan soalan Siapakah calon PM pilihan anda?
UtusanTV adalah platform media pelbagai kandungan berita semasa dan bisnes yang diolah bagi menampilkan perspektif yang mudah difahami umum.
Kandungan portal ini menggabungkan enam majalah yang dikenali sejak berzaman iaitu Mastika (1941), Wanita (1969), URTV (1970), Al Islam (1974), Saji (1995) dan Hijab (2013). – UtusanTV

