PENDIRIAN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung keputusan UMNO menolak kerjasama dengan parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan diputuskan dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi, petang ini.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, mesyuarat biro politik parti itu yang dipengerusikan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam telah membincangkan surat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bertarikh 26 Februari lalu.

Menurut Hamzah, ia berhubung keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 19 Februari lalu di Janda Baik, Pahang yang memutuskan menolak kerjasama dengan Bersatu.

Hamzah berkata, Biro Politik Bersatu turut mengambil maklum keputusan Majlis Tertinggi UMNO mengenai kebersamaan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

“Sehubungan itu, biro politik mengambil ketetapan bahawa pendirian Bersatu akan diputuskan dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi petang ini.

“Pendirian tersebut juga akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN akan datang bersama parti-parti komponen yang lain iaitu Pas, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Annuar gesa Ahmad Zahid jelaskan benarkah telah hantar surat kepada Muhyiddin

Spekulasi mengenai perkara tersebut hangat diperkatakan selepas UMNO dilaporkan telah menghantar surat kepada Perdana Menteri berhubung keputusan Majlis Tertinggi parti itu untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu dan PN menjelang PRU-15.

Beberapa portal memetik sumber memberitahu, surat pemakluman itu telah dihantar kepada Muhyiddin pada 26 Februari lalu namun sehingga kini belum ada maklum balas berhubung surat berkenaan.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dalam akaun Facebook miliknya semalam turut menggesa Ahmad Zahid supaya menjelaskan kepada ahli-ahli UMNO sama ada telah mengutuskan surat kepada Muhyiddin.

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu turut menimbulkan persoalan jika benar keberadaan UMNO dalam kerajaan hanya sehingga Parlimen dibubarkan, adakah ia bermaksud parti itu tidak akan terlibat sebagai ‘caretaker government sepanjang tarikh pembubaran hingga pilihan raya umum diadakan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram