KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) menggantung tugas Ketua Pegawai media parti itu selama sebulan selepas didakwa terdapat sedikit kekeliruan dalam kenyataan media Pengerusi BN, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi semalam.
Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Eksekutif BN, Mohamad Sahfri Ab Aziz berkata, kekeliruan terhadap kenyataan Ahmad Zahid adalah atas kekhilafan pegawai berkenaan.
‘’Sehubungan itu saya telah mewujudkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman pada pagi ini bagi membincangkan penyiaran kenyataan media Pengerusi Barisan Nasional yang tidak mendapat kelulusan pihak Sekteriat Dewan Tertinggi Barisan Nasional terlebih dahulu yang kurang tepat sebagaimana yang telah diperbincang dan diputuskan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional.
‘’Maka setelah mendengar pandangan Jawatankuasa Siasatan Dalaman, saya telah menggantung tugas Ketua Pegawai media BN bagi tempoh satu bulan berkuatkuasa serta merta. Ini juga membolehkan proses siasatan dalaman dapat dilaksanakan dengan lebih terperinci dan lebih berkesan,’’ katanya.
Bagaimanapun dalam kenyataan ringkas itu Mohamad Sahfri tidak menjelaskan secara terperinci ‘sedikit kekeliruan’ dan ‘kekhilafan’ yang berlaku.
Justeru ia menimbulkan persoalan adakah ia berkaitan kenyataan bekas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa yang membangkitkan kenapa kenyataan media Ahmad Zahid sebagai Pengerusi BN berkaitan sidang Parlimen hampir sama dengan kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berdasarkan kenyataan kedua-dua pemimpin itu terdapat sekurang-kurangnya lima para dikatakan hampir sama iaitu;
(a) Pengisytiharan Darurat serta Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 bagi memastikan prinsip hak asasi manusia, kebebasan masyarakat madani, ketulusan dan kedaulatan undang-undang dapat dipelihara;
(b) Keberkesanan langkah-langkah untuk membendung penularan wabak COVID-19 demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat;
(c) Keberkesanan pelaksanaan Belanjawan 2021 demi memastikan kelangsungan hidup rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40 dan M40);
(d) Keberkesanan ikhtiar pemulihan ekonomi negara semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP);
Dan penutup kenyataan iaitu Sementalahan saya (kami) juga turut menzahirkan penghargaan kepada pihak kerajaan dalam merealisasikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan kepada para wira-wirawati petugas barisan hadapan dalam pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira masa dan penat dalam memerangi wabak COVID-19.’
Atau adakah kenyataan Mohamad Sahfri itu berikutan tindak balas pemimpin-pemimpin komponen yang turut menganggap kenyataan media Ahmad Zahid tidak tepat.
Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, kenyataan Ahmad Zahid yang mendakwa BN merayu kepada Yang di-Pertuan Agong agar menitahkan supaya sidang Parlimen diadakan sebagai tidak tepat.
‘’Saya terkejut dengan kenyataan Pengerusi BN. Mesyuarat BN tidak pernah menyokong sebarang keputusan untuk merayu Seri Paduka agar menitahkan mengadakan sidang Parlimen dengan segera,’’ katanya seperti dilapor Malaysiakini.
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong pula mengesahkan apa yang dikatakan oleh Vigneswaran manakala Timbalan Presiden PBRS, Joseph Kurup pula berkata, ‘’Dewan Tertinggi BN tidak setuju berhubung kenyataan media yang dikeluarkan (oleh Presiden UMNO.’’

