KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah membenarkan pemohon skim pengeluran caruman Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-Sinar menyemak status permohonan mereka mulai sekarang di portal https://isinar.kwsp.gov.my/.
Pemohon yang telah memohon i-Sinar sebelum ini dimaklumkan status kelulusan mereka dan akan menerima pembayaran pertama sebelum Khamis depan (11 Mac).
“Permohonan anda telah diluluskan dan pembayaran ke dalam akaun bank anda akan dibuat sebelum 15 Mac 2021,” demikian kenyataan daripada KWSP kepada pemohon-pemohon yang telah lulus, terutama yang telah mengemukakan permohonan mereka sebelum ini.
Bagi mereka yang yang memilih kaedah pembayaran melalui Arahan Bayaran (P.O), mereka akan menerima notis pengambilan bayaran melalui Arahan Bayaran daripada pihak bank sebelum 15 Mac 2021.
Bagaimanapun, pemohon yang tidak berjaya atau lain-lain pencarum juga dibenarkan membuat permohonan baharu melalui portal i-Sinar tersebut mulai sekarang sehingga 30 Jun 2021.
Selain itu, ahli juga boleh membuat pindaan pengeluaran dan pembatalan pengeluaran melalui portal tersebut.

BERITA BERKAITAN Permohonan i-Sinar KWSP sebelum 25 Feb terima bayaran mulai hari ini
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini mengumumkan semua ahli di bawah umur 55 tahun dibenarkan membuat permohonan pengeluaran i-Sinar dengan kelulusan akan diberikan secara automatik.
Jumlah pengeluaran i-Sinar serta jadual pembayaran maksimum selama enam bulan akan kekal, seperti di bawah:
a. Bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah (Akaun 1), mereka boleh mengeluarkan sehingga maksimum RM10,000 dengan pembayaran pertama berjumlah RM5,000.
b. Bagi ahli yang mempunyai simpanan lebih dari RM100,000 (Akaun 1), mereka boleh mengeluarkan sehingga 10 peratus daripada Akaun 1 tersebut.
Bagaimanapun, jumlah pengeluaran maksimum dibenarkan adalah RM60,000 dan pembayaran pertama berjumlah RM10,000.
Untuk maklumat lanjut, ahli boleh menghubungi hotline khas i-Sinar di 03 – 8922 4848. Untuk pertanyaan umum, ahli boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000 ataupun melayari laman web www.kwsp.gov.my. – UtusanTV
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

