kucaimars

PENYANYI Kucaimars mula mencuri perhatian pengikut muzik tanah air sejak 2018 apabila video dirinya menyanyikan lagu-lagu saduran yang dikongsikan di laman sosial media menjadi tular.

Kucaimars atau Amirul Husyairi Nani memulakan kerjaya sebagai penyanyi profesional menerusi single debutnya berjudul Jawab pada Januari 2019.

Sejak pembabitannya dalam program realiti Big Stage 2019 dan berjaya melayakkan diri sehingga ke peringkat separuh akhir, nama Kucaimars kian dikenali dan sering meniti di bibir peminat.

Sebagai pembuka tirai 2021, penyanyi berusia 24 tahun itu kini tampil dengan single terbaharu berjudul Wanita yang merupakan ciptaan bersama Shamin Nazri dan Rudy Nastia.

Menyifatkan single keempatnya ini sebagai lagu patah hati, Kucaimars memberitahu ia merupakan lagu pertamanya yang mempertaruhkan genre balada menyayat hati.

“Lirik lagu ini bercerita tentang seseorang yang patah hati setelah gagal dalam percintaan, setelah dilukai oleh wanita yang dicintainya.

“Saya berharap lagu ini dekat di hati pendengar yang pernah mengalami pengalaman yang serupa dan semoga lagu ini menjadi sesuatu yang mereka akan dengar untuk mengubati hati sendiri,” katanya.

Single Wanita terbitan Warner Music Malaysia ini sudah boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music.