PENGGUNAAN penyaman udara yang lebih kerap dan dalam tempoh yang panjang ekoran cuaca panas yang melanda telah melonjakkan permintaan elektrik puncak negara.
Menurut Tenaga Nasional Berhad (TNB), permintaan elektrik Semenanjung Malaysia merekodkan jumlah 18,035 megawatt (MW) pada 2 Mac lalu berbanding permintaan tertinggi sebanyak 17,501MW dalam bulan Februari dan 16,585MW pada bulan Januari lalu.
Katanya, permintaan tinggi itu dicapai ketika ekonomi negara masih berada dalam fasa pemulihan menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB).
Sebagai rekod, TNB memberitahu, permintaan puncak tertinggi pernah dicatatkan negara adalah sebanyak 18,808 MW pada 10 Mac 2020 iaitu lapan hari sebelum PKP kali pertama dilaksanakan.
“Kompresor sistem penyejuk dalam sebarang perkakas elektrik juga terpaksa bekerja lebih kuat dan perlu menggunakan tenaga dengan lebih banyak bagi mengekalkan paras suhu yang sejuk ketika cuaca panas.
“Penggunaan elektrik dapat dijimatkan jika penggunaan penyaman udara dioptimumkan dengan menetapkan suhu penyaman udara antara 24 hingga 26 darjah Celsius dan menutup tingkap dengan langsir yang tebal supaya haba tidak masuk seterusnya membebankan pendingin hawa pada siang hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Mesin penapis air punca bil elektrik melambung – TNB
Untung selepas cukai TNB susut 19% kepada RM3.6 bilion
Mengulas lanjut, TNB memberitahu, pengguna juga boleh membuat kiraan sendiri penggunaan perkakas elektrik menggunakan kalkulator tenaga di rumah dalam laman web myTNB.
Selain itu, syarikat itu memaklumkan, pengguna yang berhasrat membeli peralatan elektrik baharu juga dinasihatkan memilih perkakas elektrik berpandukan label kecekapan tenaga oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).
“Penjimatan juga dapat dinikmati menerusi penggunaan pemasa untuk menutup penyaman udara pada awal pagi dari pukul 2 pagi ke atas dan memasang kipas bagi mengekalkan suhu sejuk serta pengedaran udara dalam bilik.
“Penyelenggaraan terhadap penyaman udara secara berkala pula dapat memastikan ia berfungsi dengan lebih efisien dan menjimatkan,” jelas TNB.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

